Syukur terselamat, 90 pelajar SMK Tinggi Setapak sedang solat jemaah ketika kebakaran
Kira-kira 90 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Setapak terselamat dalam kebakaran di asrama sekolah itu malam tadi kerana masing-masing sedang solat berjemaah.
Difahamkan, ketika kebakaran berlaku kesemua mereka yang berusia antara 13 hingga 17 tahun berada di surau sekolah.
Menurut Komander Operasi Kanan, Japari Tajuddin, pihak bomba menerima panggilan kecemasan menerusi MERS999 pada jam 8.43 malam.
Setibanya di lokasi kejadian pada jam 8.47 malam, pihaknya mendapati asrama pelajar lelaki di tingkat satu sedang terbakar.
Kebakaran tersebut menyebabkan kemusnahan sebanyak 80 peratus.
“Sebaik tiba, pasukan mendapati kebakaran membabitkan tingkat satu bangunan asrama pelajar lelaki di sekolah berkenaan.
“Operasi memadamkan kebakaran yang membabitkan kekuatan 40 anggota segera dijalankan dan api berjaya dikawal pada 9.40 malam,” katanya.
Beliau berkata, api berjaya dipadamkan sepenuhnya beberapa minit kemudian dengan kemusnahan akibat kebakaran dianggarkan 80 peratus.
“Bagaimanapun, tiada mangsa yang terbabit (cedera) kerana semasa kejadian kesemua pelajar sedang berada di surau,” katanya.
Menurutnya, Unit Forensik JBPM akan menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca kebakaran dan jumlah kerugian.
BACA JUGA Musim haji bermula, 284 ‘dhuyufurrahman’ dah berlepas, ini nasihat Menteri Agama