Suhaizan Kaiat dimasukkan ke ICU, ini keadaannya sekarang

Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat, dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital swasta malam tadi.

Difahamkan beliau mengalami demam panas dan oksigennya menurun akibat jangkitan kuman.

Pengerusi AMANAH Johor, Aminolhuda Hassan mengesahkan perkara itu, memaklumkan keadaan Suhaizan kini stabil namun memerlukan pemantauan berterusan.

“Memang benar, Suhaizan dimasukkan ke hospital sejak Isnin lalu akibat jangkitan pada usus dan paras darah putih yang tinggi menyebabkan paras oksigennya rendah.

“Alhamdulilah, Suhaizan stabil, cuma malam tadi dia demam dengan suhu tinggi dan paras oksigen menurun.

“Pagi ini keadaannya stabil dan sedar, namun masih dalam pemantauan doktor di ICU,” katanya memetik Buletin TV3.

Terdahulu, pembantu Suhaizan memaklumkan, bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu dimasukkan ke ICU sebuah hospital swasta kira-kira jam 11 malam tadi.

“Lawatan dan ziarah tidak dibuka kepada orang luar selagi di ICU. Marilah sama-sama kita mendoakan semoga Suhaizan segera sembuh,” katanya.