Berita baik untuk penerima SARA, kategori barangan boleh dibeli akan diperluas lagi
Sempena hari pekerja semalam, kerajaan mengumumkan berita baik yang melegakan penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Mulai 1 Mei 2025, kategori barangan di bawah SARA akan diperluas kepada produk kebersihan rumah.
Di bawah SARA ketika ini, sejumlah 14 barangan berdaftar merangkumi pelbagai barangan makanan asas, kebersihan diri, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan disediakan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan bertindak segera untuk terus menambah baik pelaksanaan program SARA dari semasa ke semasa.
MOF menyatakan, lebih 3.9 juta penerima SARA sudah mula menggunakan MyKad untuk membeli barangan asas daripada kedai yang berdaftar dengan program itu.
Mulai April penerima SARA ditingkatkan daripada 700,000 kepada 5.4 juta orang dan bilangan kedai runcit/pasar raya berdaftar di bawah SARA sudah mencecah lebih 3,700 buah di seluruh negara berbanding 700 buah pada tahun 2024.
“Seramai 72 peratus daripada jumlah 5.4 juta penerima SARA mula berbelanja menggunakan MyKad dalam bulan pertama pengkreditan SARA.
Sabun, serbuk cuci pakaian serta pinggan mangkuk turut tersenarai SARA
“Mulai 1 Mei, program SARA juga ditambah baik melalui peluasan barangan asas yang dibenarkan iaitu meliputi produk kebersihan rumah seperti sabun atau serbuk pencuci untuk pakaian, pinggan mangkuk dan lantai,” katanya.
MOF berkata, dari segi prestasi pelaksanaan SARA hingga 29 April 2025, peratus tertinggi penerima yang membuat pembelian SARA melalui MyKad adalah di Sabah dengan 84 peratus, diikuti Perlis (82 peratus), Kedah (80 peratus), Labuan (79 peratus) dan Kelantan (78 peratus).
Kadar maksimum SARA yang diterima adalah hingga RM2,100 untuk 2025 berbanding RM1,200 pada tahun 2024.