Bersatu juga akhirnya tidak percayakan Pas
Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor memandang kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkenaan dengan kebimbangan parti itu dalam gabungan bersama Pas dilihat sebagai langkah yang telah diduga.
Pengerusinya, Aminolhuda Hassan berkata, AMANAH melihat kenyataan tersebut dikeluarkan berikutan krisis ketidak percayaan rakan strategik dalam membawa agenda Bersatu dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).
“Kami sebenarnya telah menduga perkara ini akan berlaku kerana seperti yang sedia maklum, Pas sebelum ini dilihat acap kali menikam belakang rakannya dengan mengeluarkan pelbagai hukum selepas mereka tidak lagi bersama parti-parti lain.
“Sebelum ini Pas dilihat mesra dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Parti Keadilan Rakyat (PKR- Pakatan Rakyat), Tan Sri Lim Kit Siang (DAP – Pakatan Rakyat), UMNO dalam (MN) serta terkini Bersatu dan perkara yang terbaru ini telah dapat diduga sekali lagi Pas sedang mengkhianati rakannya,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Hamzah dilapor berkata, BERSATU terbuka untuk bekerjasama dengan UMNO kerana kedua-dua parti berkongsi asas ideologi yang sama.
Menurut Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat itu, bekas pemimpin MIC dan MCA juga sudah mendaftar untuk menjadi ahli BERSATU.
Mengulas lanjut, Aminolhuda berkata, agenda Pas di bawah pimpinan Tan Sri Abdul Hadi Awang selama ini demi mengambil kesempatan di atas pengaruh seseorang hanya untuk mendapatkan kuasa dan kepentingan peribadi mereka sahaja.
“Namun, perkembangan ini sedikit sebanyak telah membuka mata ramai pihak berkenaan dengan hilangnya matlamat asal Pas dalam membawa agenda rakyat.
“Kini, Pas dilihat lebih kepada sebuah parti yang terlalu hendakkan kuasa semata-mata,” tambah beliau lagi.
BACA JUGA Hujan lebat hampir di seluruh negara petang ini