Tidak akan ada saman untuk 3 bulan pertama jika gagal pamer harga ubat

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak akan mengambil tindakan dalam tempoh tiga bulan terawal ini terhadap hospital atau farmasi yang gagal mempamerkan harga ubat.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Farmasi) KKM, Dr Azuana Ramli berkata, buat masa ini kementerian akan menguatkuasakan fasa pendidikan dan melihat bagaimana perintah ini akan dilaksanakan.

Melalui Perintah Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (Penandaan Harga Ubat) 2025, KKM menetapkan semua ubat dijual atau dibekalkan klinik swasta dan farmasi komuniti wajib mempunyai tanda harga jelas, sama ada di rak pameran, katalog atau senarai harga bertulis.

“Untuk tiga bulan ini, kita akan mengadakan penguatkuasaan secara pendidikan, di mana penguat kuasa dan pelaksana akan mempelajari cara melaksanakan perintah ini sebaik mungkin selepas tempoh tersebut,” katanya pada sesi taklimat Inisiatif Pemaparan Harga Ubat di Putrajaya.

KKM akan menyemak semula tahap kebolehan pelaksanaan selepas tamat tempoh tiga bulan advokasi untuk menentukan sama ada perlu ada penambahan tempoh advokasi.

Pelaksanaan perintah baru ini bagi memastikan rakyat mempunyai pilihan bermaklumat dengan mengetahui, membuat perbandingan dan memilih harga terbaik dalam merancang perbelanjaan ubatan.

BACA JUGA Malaysia catat lonjakan ketara, naik 19 anak tangga dalam Indeks Kebebasan Media