KPDN Selangor perhebat OPS GASAK 2025 tangani ketirisan gas bersubsidi

FOTO BERITA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor terus komited memperkukuh ketangkasan dalam membanteras ketirisan dan penyelewengan barang kawalan serta subsidi, selari dengan pelaksanaan inisiatif Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan (KITA GEMPUR). (Foto: KPDN Selangor)

Sejajar dengan usaha ini, pada 18 April 2025 lalu, Menteri KPDN, YB Datuk Armizan bin Mohd Ali mengumumkan pelancaran OPS GASAK 2025, iaitu satu operasi besar-besaran yang menyasarkan penyelewengan subsidi gas petroleum cecair (LPG) di seluruh negara bermula 1 Mei 2025.

KPDN Selangor telah melancarkan gerakan serentak di seluruh negeri melibatkan tujuh cawangan KPDN iaitu Shah Alam, Petaling Jaya, Gombak, Kajang, Sepang, Kuala Kubu Bharu dan Kuala Selangor. Operasi menyasarkan premis perniagaan berisiko tinggi seperti syarikat penternakan ayam, pembekal gas memasak, dobi dan restoran.

Dalam tempoh dua hari pelaksanaan (1 – 2 Mei 2025), sebanyak empat kes telah direkodkan di bawah Peraturan 18(1), PPKB 1974, dengan rampasan hampir 90 tong gas LPG bernilai sekitar RM8,000.00. Kesemua kes disiasat lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, dan berpotensi dikembangkan mengikut Akta AMLATFPUAA 2001 bagi kesalahan pengubahan wang haram.

Sejak Januari hingga 3 Mei 2025, KPDN Selangor mencatatkan 35 kes penyelewengan LPG dengan nilai rampasan mencecah RM680,000.00 – satu pencapaian signifikan dalam penguatkuasaan barang kawalan.

Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairi bin Mat Radey, berkata pihaknya akan terus memperkukuh pendekatan penguatkuasaan yang bersasar, berasaskan data, serta disokong oleh program kesedaran pengguna dan peniaga.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif KITA GEMPUR, OPS GASAK 2025 mencerminkan komitmen kementerian dalam mengekang ketirisan subsidi yang merugikan negara dan rakyat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan penyelewengan boleh salurkan aduan melalui: WhatsApp: 019-848 8000
Aplikasi Ez Adu KPDN
Hotline: 1-800-886-800
Portal: e-aduan.kpdn.gov.my