MP Pas perlekeh lawatan Menteri KPKT ke flat uzur, anggap macam lawatan sekolah

Pembangkang membuat pendirian tidak ikut serta dalam lawatan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming ke flat usang di sekitar ibu negara baru-baru ini, kerana menganggap lawatan itu hanya helah politik.

Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, lawatan yang dibuat menteri itu seperti lawatan pelajar sekolah dan tidak harus disamakan dengan Ahli Parlimen.

“Memang jemputan itu diberi kepada semua Ahli Parlimen. Saya sendiri dapat jemputan itu melalui emel. Kita buat pendirian untuk tidak bersama dalam lawatan itu kerana pada pandangan kami lawatan itu hanya sekadar kosmetik.

“Setakat bawa melawat flat itu macam lawatan sekolah sahaja. Adakah dia nak samakan Ahli Parlimen ini macam pelajar sekolah?

“Kenapa tak bawa ke tempat tempat yang lebih dhaif dan lebih teruk. Kenapa tak bawa ke kampung kampung yang lebih memerlukan kepada pembangunan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Afnan berkata, lawatan itu juga tidak akan menjawab mengapa kerajaan menurunkan nilai ambang peratusan persetujuan pemilik hartanah.

Katanya, Pemuda Pas akan mengadakan satu himpunan aman secara besar-besaran untuk membantah pelaksanaan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) pada 14 Jun Ini di ibu negara.

Sebelum ini Kor Ming menyelar tindakan Ahli Parlimen pembangkang yang tidak menghadiri lawatan kajian khas bagi meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan Rang Undang-Undang berkenaan.

Kor Ming berkata, ketidakhadiran wakil pembangkang terutama daripada Perikatan Nasional (PN) amat mengecewakan, memandangkan jemputan rasmi telah dikeluarkan dan mereka sebelum ini bersetuju untuk hadir.

Lawatan yang disertai lapan Ahli Parlimen dan sembilan Ahli Dewan Negara itu melibatkan tinjauan ke dua flat uzur serta dua projek pembaharuan semula di ibu kota yang berjaya membangunkan semula kawasan perumahan usang menjadi kediaman moden dan berdaya huni.

BACA JUGA Peguam terangkan sudut undang-undang kenapa Aliff disiasat SKMM kerana posting tentang Nurul Izzah