Pengusaha kebun kelapa didakwa ditindas kerajaan Terengganu, Exco Pas didesak beri penjelasan
Exco Pertanian Terengganu, Dr Azman Ibrahim didesak untuk memberi penjelasan berhubung dakwaan tanah kebun kelapa pandan di Tebing Tembah, Dungun yang diusahakan 96 orang penduduk tempatan lebih 19 tahun, bakal diambil untuk projek perumahan.
Difahamkan, tanah tersebut telah diiktiraf kerajaan negeri sebagai projek berpotensi yang menjadi antara sumber pengeluaran makanan berasaskan kelapa untuk rakyat negeri.
Pengerusi Biro Tani Nasional AMANAH, Zamir Ghazali berkata, kebenaran penggunaan tanah daripada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) kepada para pengusaha telah diberikan untuk jangka masa 25 tahun.
Atas sebab itu kata beliau, tindakan ingin menebang tanaman sebelum tamat tempoh tersebut adalah satu bentuk pengkhianatan terhadap penduduk di situ.
“Biro Tani AMANAH Nasional mendesak agar Dr Azman Ibrahim segera tampil memberikan penjelasan tuntas. Jangan hanya berdiam diri seolah-olah ini bukan urusan beliau.
“Sedangkan beliaulah yang pernah hadir ke ladang ini dan memberi pengiktirafan serta dorongan kepada para petani untuk terus mengusahakan tanaman kelapa pandan secara kelompok,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zamir menegaskan, jika Exco Pertanian gagal mempertahan hak dan usaha penanam kelapa ini, malah membiarkan kemusnahan berlaku tanpa sebarang tindakan, maka adalah wajar beliau meletakkan jawatan sebagai Exco Negeri.
Dalam Pelan PITAS 2030, sasaran utama kerajaan negeri Terengganu ialah menjadi hub pengeluaran makanan berasaskan pertanian. Kelapa adalah antara subjek pemajuan bagi tujuan tersebut.
Hala tuju itu kata Zamir, kelihatan canggung dengan keputusan yang memangsakan 96 pengusaha tanaman kelapa dan ini menjadi tanggungjawab Exco Pertanian negeri untuk pertahankan agenda kerajaan negeri sendiri.
“Biro Tani AMANAH Nasional menyeru agar kerajaan negeri mempertimbangkan kembali tindakan merampas tanah ini.
“Jika benar kerajaan mahu membangunkan perumahan, terdapat pilihan yang lebih rasional seperti Bandar Baharu Durian Mentangau yang jauh lebih luas dan sesuai dengan jarak sekitar 15 minit sahaja dari Tebing Tembah.
“Mengapa harus memilih tanah yang sudah subur dan produktif, melainkan ada niat tersembunyi?,” ujarnya lagi.
BACA JUGA ‘Dewan Ulama Pas berbunyilah, tegur Sanusi walau dia MB’ – PU Syed