FOTO BERITA | Rayuan keluarga selamatkan anak dari sindiket pemerdagangan manusia di Cambodia

FOTO BERITA: Sidang Media oleh Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) berkenaan rayuan ibu selamatkan anak dari sindiket perdagangan manusia di pejabat MHO, Megan Avenue, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. 2hb Mei 2025 (Jumaat)

Mangsa, seorang wanita muda yang dikatakan pergi bercuti ke Thailand pada November 2024, kini dipercayai telah dijual kepada sindiket pemerdagangan manusia dan dipindahkan ke Cambodia. Menurut keluarga, mereka mula menyedari sesuatu yang tidak kena apabila gagal menghubungi mangsa selama beberapa minggu selepas percutian tersebut.

Ibu yang hanya ingin dikenali Yanti, 45, berkata mesej itu diterimanya menerusi aplikasi Telegram pada 28 Mac lalu dan sehingga kini, anak tunggalnya itu dipercayai masih ‘dikurung’ sindiket yang dipercayai terbabit kegiatan penipuan dalam talian.

“Dia hanya dapat hubungi saya melalui Telegram beberapa kali. Anak saya minta tolong diselamatkan dan ada hantar lokasi, tapi saya tidak tahu bagaimana keadaannya sekarang,” katanya.

Berdasarkan maklumat, katanya anaknya itu mengikuti dua rakan yang juga pasangan kekasih bercuti ke Thailand sebelum diseludup masuk ke Kemboja. “Dia (anak) tidak tahu kena tipu… sekarang dia seorang sahaja rakyat Malaysia di sana, yang lain semua orang China. Anak saya pandai cakap bahasa Cina sebab bekas suami saya orang Cina.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim turut menggesa campur tangan segera daripada Kementerian Luar Negeri dan agensi keselamatan berkaitan bagi memastikan mangsa dapat dikesan dan dibawa pulang dengan selamat. Menurut wakil MHO, kes ini bukanlah yang pertama dan menunjukkan betapa seriusnya ancaman sindiket pemerdagangan manusia di rantau ini.

Sidang media berakhir dengan seruan agar masyarakat lebih berhati-hati dan berwaspada ketika merancang perjalanan ke luar negara, terutamanya apabila melibatkan tawaran pekerjaan atau pelancongan yang mencurigakan