Saifuddin saman pengguna TikTok kerana memfitnah

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution memfailkan saman fitnah terhadap seorang pengguna TikTok ‘Tam Jebat’ atau nama sebenarnya Zubair Ismail kerana didakwa memfitnahnya.

Dalam pemfailan di mahkamah, Zubair didakwa melemparkan pelbagai fitnah, menuduh Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) itu mendalangi serbuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ke atas Persatuan Bola Sepak Kedah tahun lalu.

Beliau merujuk hantaran TikTokers pro pembangkang itu yang menyebut; “Pokka hantaq SPRM, LHDN mai serbu kelab bola Kedah. Berselerak habis sponsor”

Saifuddin berkata, kenyataan itu jelas merujuk kepadanya, dan secara salah mencadangkan bahawa beliau menyalahgunakan kuasanya sebagai menteri.

Satu lagi hantaran individu itu di TikTok yang ditonton lebih 65,000 kali, didakwa mengejek Saifuddin kerana memberikan sumbangan RM200,000 secara ‘one off’ kepada pemain bola sepak sempena Aidilfitri.

Dia mendakwa tindakan itu hanya untuk menunjuk-nunjuk, berbanding bantuan bulanan diberikan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Selain itu, pengguna TikTok tersebut memfitnahnya sebagai ‘penyamun kaki sakau’ dan mencadangkan bahawa Saifuddin telah memfitnah menteri besar Kedah berhubung isu kecurian nadir bumi dan dana penyelenggaraan jalan.

Saifuddin berkata, Zubair membuat dakwaan palsu dan tidak berasas dengan niat jahat, dan tidak memohon maaf walaupun diberi peluang berbuat demikian pada 4 April lalu.

Beliau berkata, kenyataan itu menjejaskan reputasi, integriti dan kerjaya politiknya, menyebabkan beliau dicemuh dan diganggu dalam talian.

Saifuddin menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan, serta injunksi untuk menghalang Zubair dan wakilnya daripada membuat atau mengulangi kenyataan serupa.

Beliau juga mahu mahkamah memerintahkan Zubair menurunkan hantaran berunsur fitnah itu, dan ganti rugi itu termasuk faedah 5 peratus serta kos guaman.

BACA JUGA ‘Dewan Ulama Pas berbunyilah, tegur Sanusi walau dia MB’ – PU Syed