39,000 batang lemang terjual, Lemang Bagus cipta rekod baharu Aidilfitri 2025

FOTO BERITA: Majlis Jamuan Megaraya 2025 bersama Pengasas Lemang Bagus, Muhammad Hydier Hamid di Tapak Lemang Bagus, Salak Tinggi Sepang, Selangor. 4hb Mei 2025 (Ahad)

Program Megaraya Lemang Bagus 2025 yang diadakan sempena sambutan Aidilfitri di DUN Sungai Pelek hari ini berjaya menarik kehadiran lebih 3,000 pengunjung, menjadikannya platform berimpak tinggi dalam menyatukan komuniti serta memperkasakan keusahawanan tempatan.

Program anjuran Lemang Bagus dengan kerjasama Pejabat ADUN Sungai Pelek dan Parlimen Sepang itu menyaksikan kejayaan luar biasa apabila jualan lemang mencecah 39,000 batang, melepasi sasaran 35,000.

Menurut pengasasnya, Muhammad Hydier Hamid, Lemang Bagus bukan sekadar produk tradisional, malah menjadi sumber utama bagi pelbagai inisiatif kebajikan. Hasil jualan hampir RM100,000 digunakan untuk membantu golongan memerlukan melalui pembelian peralatan seperti van jenazah, katil hospital, kerusi roda dan keperluan Hari Raya.

“Pencapaian ini turut memberi impak besar kepada komuniti. Malah, Lemang Bagus kini berada di dalam penerbangan Malaysia Airlines dan sedang menjalani proses penjenamaan semula ke arah pengkomersialan antarabangsa,” katanya yang juga Pengerusi Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan Sepang.

Sebanyak 80 kakitangan termasuk sukarelawan dari Persatuan Belia Gugusan Salak terlibat dalam operasi sepanjang Ramadan dan Syawal.

Majlis turut diserikan dengan persembahan kanak-kanak, artis jemputan Daniel Ismail, serta acara cabutan bertuah dan penyerahan simbolik bantuan kepada komuniti dan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak.

Acara simbolik penyerahan katil hospital, kerusi roda dan set kain kafan kepada komuniti turut berlangsung dalam suasana penuh keinsafan dan kebersamaan.

Hadir sama, ADUN Sungai Pelek, YB Lwi Kian Keong yang menyatakan sokongan penuh terhadap inisiatif pembangunan belia dan kebajikan seperti ini.