Sidang khas Dewan Rakyat bawa mesej konsensus nasional boleh dicapai, kata Dr Mujahid
Sidang khas Dewan Rakyat berhubung isu tarif timbal balas oleh Amerika Syarikat telah menjurus ke arah konsensus nasional agar kepentingan negara dipelihara, kata Senator Datuk Dr Mujahid Yusof.
“Ucapan back-benchers (Ahli-Ahli Parlimen Penyokong Kerajaan) dan Ketua Pembangkang mewakili hasrat konsensus ini di mana asas konsensus ini berligar seputar memelihara kepentingan nasional seperti kedaulatan undang-undang negara, kedaulatan menentukan kepentingan pemain industri tempatan dan kebajikan rakyat.
“Parlimen turut sama secara konsensus melihat perlunya peluang platform baharu yang lebih terbuka serta mengukuhkan hubungan pasaran ekonomi ASEAN + China+ Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan antara negara-negara ASEAN.
“Selain itu, semua pihak bersetuju bahawa Malaysia harus mengambil sikap diplomatik dalam rundingan bagi mengimbangi sikap terbuka dalam peperangan perdagangan Amerika-China. Kedua-duannya adalah rakan utama perdagangan Malaysia, dan ia satu perkara yang perlu ditangani umpama menarik “rambut dalam tepung,” tambah beliau dalam satu kenyataan.
Beliau yang juga timbalan presiden AMANAH menambah bahawa mesej konsensus dan perpaduan yang ditonjolkan oleh ahli legislatif ini perlu dikembangkan dalam isu-isu lain.
“Saya melihat perbahasan hari ini di Dewan Rakyat membawa isyarat yang baik di sebalik krisis adanya peluang untuk memperkukuhkan konsensus politik di peringkat nasional.
“Malah idealisme konsep perpaduan harus diterjemahkan kepada konsensus lain seperti dalam isu-isu 3R, isu-isu kebajikan rakyat dan isu keselamatan negara.
Ini kerana konsensus pernah dicapai sebelum ini dalam menangani isu pandemic Covid-19. Walau bagaimanapun perkara ini tidak tercapai dalam pembentukan kerajaan pasca PRU-15 untuk merealisasikan titah Yang Di-Pertuan Agong.
Mujahid turut melahirkan hasrat agar semua blok politik dapat mendidik penyokong masing-masing dengan konsep konsensus agar politik Malaysia menjadi lebih matang.
BACA JUGA: Pemuda Pas fitnah PSB rampas hak milik rakyat, dicabar debat terbuka