Pemandu e-hailing dedah Pamela Ling dipaksa keluar kereta oleh anggota polis

Seorang pemandu e-hailing mendedahkan bahawa Datin Seri Pamela Ling Yueh, telah dipaksa seseorang yang mendakwa anggota polis untuk keluar daripada kereta dan masuk ke dalam kereta anggota tersebut.

Pemandu e-hailing yang ingin dikenali sebagai Kok berkata, pada hari kejadian, dia mengambil wanita itu dari Velocity Tower, Cheras ke SPRM Putrajaya.

Namun ketika hampir tiba ke bangunan SPRM, tiba-tiba tiga kereta muncul dari depan, di belakang dan di sisi kenderaannya sebelum terus menghalang laluan.
“Kemudian, keluar dua lelaki dan seorang wanita dari dua kereta, manakala tiada orang keluar dari satu lagi kereta.

“Saya lihat dua lelaki itu pakai vest polis, manakala seorang lagi wanita memakai pakaian seragam polis menghampiri kereta saya serta memaklumkan ingin menahannya (Pamela) bagi membantu siasatan selepas menerima laporan polis,” katanya memetik Harian Metro.

Katanya, pada mulanya, wanita terbabit enggan keluar dari kereta sebelum wanita berpakaian polis itu cuba hendak tariknya keluar.

“Dua lelaki lain kemudian menerangkan ini adalah tangkapan dan mendakwa hanya akan menghantar pelanggan saya itu (Pamela) ke balai polis berdekatan untuk membantu siasatan.

Barulah ketika itu wanita terbabit turut dan dia membayar RM100 kepada saya untuk kos penghantaran sebelum penculik itu memaksa saya menekan butang complete job,” katanya.

Polis ketika ini sedang menyiasat dakwaan kehilangan Pamela, sama ada dia dilarikan oleh pihak polis atau individu yang menyamar sebagai pegawai polis.

Fakta ini diperoleh daripada saksi iaitu pemandu e-hailing yang membawa Pamela ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, pada tengah hari 9 April lalu.