Skandal Pelaburan disyaki palsu rugi RM60.7 juta melibatkan 186 orang mangsa

FOTO BERITA: Sidang Media oleh Dato’ Hishamuddin Hashim Setiauhasa Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) berkenaan skandal pelaburan I-RPS disyaki palsu rugi RM39.4 juta di pejabat MHO, Megan Avenue, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. 5hb Mei 2025 (Isnin)

Menurut Dato’ Hishamuddin, pihak MHO telah menerima 186 aduan rasmi daripada mangsa-mangsa yang terlibat dalam skim pelaburan ini, yang dianjurkan oleh dua buah syarikat tempatan. Jumlah kerugian keseluruhan yang ditanggung oleh mangsa mencecah RM60.7 juta

“Pada awal penyertaan sekitar tahun 2021 dan 2022, para pelabur menerima pembayaran dividen seperti yang dijanjikan. Namun, mulai 2023, ramai pelabur baharu langsung tidak menerima sebarang bayaran. Mangsa mula meragui ketelusan skim ini dan percaya wang mereka disalahgunakan bagi membayar pelabur terdahulu,” jelas beliau.

Mangsa mendakwa bahawa pihak syarikat mempromosikan skim ini menggunakan maklumat dalam Information Memorandum yang menyatakan dana pelaburan akan digunakan untuk projek-projek tertentu. Namun, menurut mangsa, projek-projek tersebut tidak pernah dilaksanakan. Sebaliknya, hanya projek-projek lain yang tidak pernah dimaklumkan dilihat dijalankan, menimbulkan keraguan terhadap ketulenan pelaburan tersebut.

Tambah membimbangkan, kehadiran individu-individu berprofil tinggi yang dikatakan memegang jawatan dalam syarikat terbabit telah mendorong lebih ramai pelabur menyertai skim tersebut, sekali gus meningkatkan skala kerugian.

“Para pelabur kini mengesyaki pelaburan I-RPS ini hanyalah rekaan semata-mata dan digunakan sebagai topeng untuk mengaut keuntungan dengan cara memperdaya orang awam,” kata Dato’ Hishamuddin lagi.

Pihak mangsa telah pun membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan berharap agar siasatan menyeluruh dapat dijalankan bagi membawa pihak yang terlibat ke muka pengadilan. MHO menyeru agar agensi penguatkuasaan seperti PDRM, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Bank Negara Malaysia turut campur tangan dalam menangani isu ini.

Sidang media hari ini turut dihadiri oleh mangsa sebagai tanda solidariti serta desakan kepada pihak berkuasa untuk bertindak segera terhadap penipuan berskala besar ini.
