19 ketua cabang Selangor mahu Nurul Izzah timbalan presiden PKR
Seramai 19 ketua cabang Selangor yang diketuai pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mahukan Nurul Izzah Anwar sebagai timbalan presiden PKR.
“Sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Selangor, saya menyatakan sokongan terbuka bersama rakan-rakan pimpinan dari seluruh cabang di negeri ini terhadap pencalonan Nurul Izzah sebagai timbalan presiden PKR,” kata Amirudin dalam satu kenyataan yang turut ditandatangani bersama 18 ketua cabang.
Beliau turut memberikan sebab mengapa Nurul Izzah lebih sesuai berbanding dengan penyandang, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Walau bagaimanapun, nama Rafizi tidak disebut sebaliknya dirujuk sebagai pemimpin yang mahir berpidato.
“Kita tidak hanya perlukan pemimpin yang mahir berpidato atau memenangi kerusi. Kita perlukan pemimpin yang faham denyut nadi anggota, bersedia mendengar akar umbi dan tahu meletakkan parti mengatasi kepentingan peribadi.
“Parti ini perlu seorang Timbalan Presiden yang tidak terikat dalam pentadbiran kerajaan, tetapi boleh memberi fokus kepada mengukuhkan kekuatan dalaman parti. Kita perlukan sosok yang boleh memberi sepenuh tenaga untuk mempersiapkan PKR menghadapi PRU akan datang dengan strategi kukuh, struktur tersusun dan semangat anggota yang segar.
Ketua-ketua cabang tersebut turut menengahkan mengapa Nurul yang turut dikenali sebagai Puteri Reformasi adalah orang terbaik untuk menjadi orang nombor dua PKR.
“Nurul Izzah bukan orang baru. Beliau telah berjuang sejak muda, menjadi suara anak muda dalam zaman penuh getir, ditahan, dihina, namun tidak pernah meninggalkan medan perjuangan. Beliau membina nama bukan kerana nama keluarganya, tetapi kerana keteguhan prinsip dan keberanian berdiri untuk kebenaran.
“Beliau juga telah membuktikan kredibilitinya dalam dua penggal sebagai Ahli Parlimen, sebagai Naib Presiden parti, serta sebagai pemikir dasar yang komited. Dalam dan luar negara mengiktiraf ketokohan beliau, tetapi yang paling utama anggota parti tahu siapa beliau, dan tahu apa yang telah beliau korbankan untuk PKR.
“Kita perlukan kepimpinan yang bersedia ‘toe the line’ bersama anggota, yang faham denyut nadi parti dan yang tidak meletakkan diri di atas, tetapi di sisi perjuangan rakyat.
Mereka juga menolak andaian bahawa pencalonan Nurul Izzah merupakan amalan kroni.
“Pencalonan ini bukan soal mewarisi nama, tetapi soal membina semula semangat. Ia tentang harapan baharu. Tentang menyatukan idealisme reformasi dengan realiti politik masa kini. Tentang menyambung api perjuangan dengan keikhlasan dan tanggungjawab.”
Amirudin juga menjelaskan bagaimana Nurul Izzah boleh menjadi gandingan mantap untuk Anwar di dalam PKR.
“Saya yakin, dengan Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden, kita dapat menyusun semula barisan yang kuat, menyemai semula kepercayaan rakyat, dan memastikan PKR kekal relevan, progresif dan berwibawa.
“Kepimpinan Presiden memerlukan gandingan yang mantap dan Nurul Izzah mampu menjadi rakan setia, penasihat jujur dan tenaga penggerak yang berani menyatakan kebenaran demi parti.”