Berita baik untuk pegawai awam yang bekerja di Kuala Lumpur

Jabatan Perkhidmatan Awam dalam satu kenyataan mengumumkan bahawa pegawai awam boleh bekerja dari rumah susulan keputusan untuk melaksanakan Dasar Bekerja Dari Rumah secara fleksibel pada hujung bulan ini.

Keputusan ini diambil sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang akan berlangsung pada 26 dan 27 Mei di Kuala Lumpur.

“Selaras dengan pendekatan ini, ketua jabatan diberi kuasa mempertimbangkan permohonan BDR bagi pegawai yang mungkin terkesan dengan kesesakan aliran trafik sempena Sidang Kemuncak ASEAN,” kata JPA dalam kenyataan tersebut.

“Pegawai awam yang layak disaran untuk berhubung dengan ketua jabatan masing-masing bagi pertimbangan sewajarnya.

“Pelaksanaan dasar ini hendaklah berpandukan tatacara dan syarat yang telah digariskan dalam MyPPSM.”

Cadangan bekerja dari rumah pada asalnya dilontarkan oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan sempena lawatan presiden China Xi Jinping ke Malaysia.

Ini kerana banyak jalan utama di Kuala Lumpur ditutup sebagai langkah keselamatan.

Tindakan tersebut bagaimanapun menyukarkan penduduk yang perlu ke tempat kerja.