India lancarkan ‘Operasi Sindoor’, masjid di Pakistan juga jadi sasaran
India telah melancarkan “Operasi Sindoor”, menyerang sembilan tapak di Pakistan dan Kashmir yang ditadbir oleh Pakistan.
Antara kawasan terlibat termasuk Muzaffarabad (Azad Jammu & Kashmir), Kotli (Azad Kashmir) dan Bahawalpur (wilayah Punjab, Pakistan).
“Operasi Sindoor” merupakan serangan ketenteraan secara terbuka oleh India ke atas Pakistan melalui operasi udara dan peluru berpandu.
Serangan itu menyasarkan wilayah yang dikawal Pakistan yang didakwa sebagai tempat persembunyian kumpulan militan seperti Lashkar-e-Taiba dan Jaish-e-Mohammed.
Operasi itu didakwa India berjaya menghancurkan kem dan pusat latihan militan tetapi Pakistan mengecam serangan tersebut sebagai pelanggaran kedaulatan apabila India menyerang kawasan awam termasuk masjid, dan menyifatkannya sebagai “tindakan perang”.
Masjid Bilal di Muzaffarabad yang turut menempatkan sebuah madrasah rosak teruk akibat serangan udara India.

Penduduk tempatan dilapor melarikan diri ke kawasan bukit selepas mendengar letupan kuat, dan pembesar suara masjid menggesa orang ramai mencari perlindungan.
Tiga orang dilaporkan terbunuh berhampiran masjid tersebut.
Memetik AlJazeera, tindakan India itu mendorong tindakan balas pantas dari Islamabad dalam pertempuran terburuk dalam lebih dua dekad antara dua negara jiran itu.
Ketegangan memuncak
Pihak Pakistan memaklumkan sekurang-kurangnya 26 orang terbunuh dan 46 yang lain cedera hari ini akibat serangan India.
Sementara itu, India berkata, sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh dalam serangan balas.
Serangan India dan serangan balas oleh Pakistan berlaku di tengah-tengah ketegangan yang memuncak, selepas serangan maut bulan lalu ke atas pelancong di Kashmir yang ditadbir India.
New Delhi menuduh kumpulan militan yang berpangkalan di Pakistan sebagai dalang serangan yang mengorbankan 27 orang awam itu.
Bagaimanapun, Pakistan menafikan penglibatan dalam serangan di Pahalgam, Kashmir pada 23 April lalu dan menganggap tindakan ketenteraan India sebagai pencerobohan tanpa provokasi yang sah.
Dalam satu kenyataan awal hari ini, kerajaan India berkata tenteranya telah menyerang “infrastruktur pengganas di Pakistan dan Pakistan yang diduduki Jammu dan Kashmir dari mana serangan pengganas terhadap India telah dirancang dan diarahkan”.
BACA JUGA Rafizi sudah beritahu Anwar hasrat letak jawatan dan tidak sertai Kabinet