Kenapa kebun kelapa dipilih untuk lot rumah, ini isunya
Pengerusi AMANAH Terengganu Senator Hasbie Muda menyoal rancangan kerajaan negeri Terengganu yang mahu mengambil alih tanah pertanian yang telah diusahakan dengan kelapa pandan untuk diedarkan semula sebagai tanah untuk perumahan.
Beliau berkata bahawa inisiatif perumahan rakyat tidak boleh menjejaskan tanah pertanian memandangkan tanah pertanian adalah penting untuk keterjaminan makanan.
Usaha oleh kerajaan Terengganu pimpinan Pas turut disifatkan sebagai tidak berperi kemanusiaan
“Kenapa tak dicari di Dungun untuk buka lot rumah? Kawasan yang diusahakan untuk pertanian kita kekalkan dan tambah
“Sekarang ini dikurangkan tempat-tempat yang diusahakan untuk pertanian dan ini bagi saya tidak berperi kemanusiaan sebab mereka dah usahakan sejak muda.
“Ada yang dari mak dan ayah kepada anak usahakan tempat itu. Bukan senang dari tempat berpaya sekarang boleh jadi tempat pertanian.
Hasbie turut menyifatkan tindakan kerajaan negeri tersebut menyebabkan para petani hilang sumber pendapatan.
“Ini ada hasil pendapatan pada keluarga. Bayangkan kalau mereka hilang tanah ini mereka hilang sumber pendapatan. Walaupun ada yang buat secara sambilan, sebahagiannya buat secara sepenuh masa, mereka akan hilang sumber pendapatan.
“Ini nasib rakyat Terengganu yang bertungkus lumus mengusahakan tanah ini. Atas usaha nak cari rancangan tanah berkelompok, carilah yang lain.
Hasbie turut memberi jaminan akan memperjuangkan isu ini.
“Biarlah mereka kekal dengan projek penanaman kelapa pandan. Biar mereka terus denga usaha ini.
“Saya sendiri akan tulis surat kepada Menteri besar supaya beliau lihat semula dan di Dewan Negara, sama ada keputusan untuk menukar tanah kelapa pandan dinilai semula
“Saya faham kerajaan nak beri tanah untuk rumah orang muda. Itu kita tak ada masalah. Kita sokong usaha itu tapi jangan usik tanah yang diusahakan