Mat Sabu himpun kawan lama dalam Pemuda Pas di Perak

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu telah menghimpunkan kawan-kawan lamanya sejak zamannya dalam Pemuda Pas.

Ini berlaku semalam ketika beliau menghadiri Majlis Perasmian Pusat Pengeluaran Benih Padi Sah Pertubuhan Peladang Negeri Perak.

Perkara ini didedahkan menerusi hantaran Facebooknya.

“Seperti biasa, menjadi kebiasaan Bang Mat, ke mana-mana Bang Mat pergi, kalau ada ruang dan masa, pasti Bang Mat cuba cari kawan-kawan lama. Ramai sahabat seperjuangan yang telah pergi dahulu menemui Ilahi. Yang tinggal ini pun, ada yang sebaya dan ramai yang lebih muda. Tapi ukhuwah itu tetap kekal dalam ingatan.

“Selesai majlis, Bang Mat ajak dua sahabat lama YB Datuk Haji Idris Ahmad, Ahli Parlimen Bagan Serai dan YB Haji Misbahul Munir Masduki, Ahli Parlimen Parit Buntar minum dan sembang santai. Turut serta, dua lagi sahabat seperjuangan, Dato’ Mahfuz Omar, Pengerusi LPP dan Dato’ Dr. Ismail Salleh, Pengerusi MADA.

“Kami berlima ini bukan orang baru. Ada yang kenal sejak zaman ceramah keliling kampung naik van buruk, tidur rumah kawan, makan apa yang ada. Ustaz Idris dan Dato’ Mahfuz misalnya, kami pernah bermusafir satu negara menyampaikan ceramah.

Beliau turut menegaskan kembali bahawa perbezaan pandangan tidak boleh memutuskan hubungan silaturahim.

“Walaupun hari ini kami berbeza platform dan pandangan dalam banyak hal, Bang Mat selalu ingatkan diri, politik dan siasah itu cuma wadah pentadbiran bukan akidah.

“Ukhuwah jangan dilupakan. Kita boleh tak setuju, tapi jangan sampai terputus silaturahim.”

BACA JUGA: Berpada dalam perbezaan pendapat, jangan putus silaturahim, kata Mat Sabu selepas jumpa Mustafa Ali