Pertandingan dua atau tiga penjuru? Kerusi timbalan presiden PKR makin hangat

Kontroversi kepala tanpa badan baharu sahaja reda dan kini seluruh tumpuan teralih sekali lagi kepada pemilihan PKR. Adakah ia pertandingan dua atau tiga penjuru?

Siapakah yang akan menjadi timbalan presiden PKR? Itulah persoalan terbesar buat ahli PKR dan pemerhati politik negara.

Datuk Seri Rafizi Ramli ialah penyandang jawatan.

Pada peringkat awal, persoalan tersebut dibangkitkan kepada setiausaha Pakatan Harapan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Ada ura-ura mendakwa beliau bersedia untuk merebut jawatan tersebut buat kali keempat.

Media juga melaporkan bahawa Rafizi telah bercuti hingga akhir bulan ini kerana ramai anggota pasukannya tersungkur di peringkat cabang.

Menurut sumber, rundingan sedang diadakan agar Rafizi kekal di jawatan nombor dua.

Namun perkara di atas tidak mengambil kira faktor Nurul Izzah.

Adakah beliau akan bertanding untuk kerusi timbalan presiden?

Secara rasminya Nurul Izzah akan bertanding untuk jawatan naib presiden parti.

PKR Melaka yang diketuai setiausaha politik kanan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, PKR Selangor yang diketuai Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan pimpinan dari segenap lapisan telah pun menyatakan sokongan agar Nurul Izzah menjadi timbalan presiden.

Sokongan kepada Izzah yang juga dijkenali sebagai Puteri Reformasi kuat seolah-olah ombak badai yang terhempas di pantai.

Para pengkritik pula akan mendakwa PKR mengamalkan nepotisme kerana Nurul ialah anak Anwar.

Mereka yang menyelusuri sejarah penubuhan PKR pasti mengetahui bahawa bukan Reformasi yang menjadi slogan kepada parti ini.

Pendirian menentang korupsi, kronisme dan nepotisme juga sinonim dengan PKR.

Bagaimana mungkin tuduhan nepotisme tersebut akan diatasi oleh Puteri Reformasi sekiranya beliau menerima pencalonan untuk kerusi timbalan presiden?

Persoalan yang lebih besar ialah, adakah Nurul menerima pencalonan untuk jawatan timbalan presiden.

Hanya Nurul yang mempunyai jawapannya.