Rafizi akhirnya jawab kenapa terpaksa ambil cuti dari tugas rasmi

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli tampil menjawab persoalan ramai mengenai punca beliau mengambil cuti beberapa hari daripada tugasnya sebagai menteri.

Timbalan Presiden PKR itu berkata, ia bagi memberi tumpuan dan meredakan keadaan di peringkat akar umbi selepas berakhir proses pemilihan parti.

Pemilihan di peringkat cabang menyaksikan beberapa fenomena baru, di mana calon Ketua Cabang memenangi pemilihan tetapi keseluruhan jawatankuasa dan sayap-sayap dimenangi oleh pesaing.

Difahamkan jumlah bantahan terhadap keputusan luar biasa itu telah melebihi 190 bantahan di seluruh negara.

Rafizi berkata, beliau sebagai timbalan presiden parti menyedari bahawa aduan dan isu yang timbul perlu diurus dengan harmoni.

“(Atas sebab itu) saya membuat keputusan untuk memberi tumpuan menguruskan perkara ini sepenuh masa, termasuk berjumpa dan mendengar sendiri isu yang dibangkitkan oleh pelbagai calon yang bertanding, tanpa mengira kumpulan.

“Masa yang diperlukan adalah panjang. Sewajarnya, kerja-kerja mengurus parti yang memerlukan masa khusus seperti ini tidak dicampur adukkan dengan tugas dan masa sebagai seorang menteri,” katanya dalam satu penjelasan di laman sosial media beliau.

Mengulas lanjut Rafizi berkata, mengasingkan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin parti politik dari tugasan rasmi seorang menteri adalah satu budaya politik baru yang wajar diemai.

“Oleh itu, saya telah membuat permohonan kepada YAB Perdana Menteri untuk bercuti dari tugas rasmi untuk memberi tumpuan meredakan keadaan di peringkat akar umbi,” ujarnya lagi.

BACA JUGA Rafizi sudah beritahu Anwar hasrat letak jawatan dan tidak sertai Kabinet