Agihan 40:33 untuk BN, PH dalam PRN Sabah belum muktamad, Ahmad Zahid sahkan
Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan bahawa agihan 40 kerusi untuk BN dan 33 untuk Pakatan Harapan di dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah telah dimuktamadkan.
“Kami telah membuat keputusan bahawa pertamanya kerjasama antara BN dan PH mesti diperkuatkan di Sabah. Kedua, keputusannya ialah BN, PH, plus plus plus.
“Jadi kita serahkan kebijaksanaan kepada kepimpinan BN di Sabah dengan panduan daripada pusat untuk mencari jalan paling bijak bagi menentukan dominasi kesepakatan ini untuk PRN17 di Sabah.
“Kita tidak tutup pintu. Prinsip kita, kita tidak buka pintu seluas-luasnya dan tidak tutup serapat-rapatnya. Jadi ertinya masih ada ruang yang luas bagi jalinan Kerjasama politik di Sabah.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Deklarasi Konvensyen Francais ASEAN dan Pameran Francais Antarabangsa Malaysia 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Sebelum BN Sabah telah mengumumkan agihan 40:33. DAP walau bagaimanapun menafikan agihan tersebut telah dimuktamadkan.
Dalam pada itu, Zahid turut mengulas berkenaan hasrat Bersatu untuk bekerjasama dengan Umno yang beliau sudah dengar acap kali.
“Banyak kali sudah saya dengar. Saya kira beliau mahu mencari satu realiti yang baharu dengan keadaan di mana rakan kongsi politiknya telah bermain kayu tiga.
“Dan saya pula fikir apa yang berlaku pada UMNO sedang berlaku pada parti ini,” katanya.