Ini 3 cadangan pelik yang pernah dibuat Wan AhmadFayhsal sepanjang menjadi ahli politik PN
Oleh A. Zahid
Dalam arena politik, setiap cadangan dan kenyataan yang dilontarkan oleh wakil rakyat pastinya menjadi perhatian, terutama apabila ia datang daripada pemimpin yang sering mencetuskan kontroversi seperti Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Baru-baru ini, beliau menjadi topik perbincangan hangat dengan satu cadangan yang boleh dianggap pelik dan menimbulkan persoalan mengenai kebolehpercayaannya sebagai seorang pemimpin. Mari kita lihat tiga cadangan beliau yang pernah mencetuskan kekecohan politik tempatan.
Cadangan Pertama – Cetak Duit untuk Selamatkan Ekonomi
Ketika memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal pernah mencadangkan supaya kerajaan ‘mencetak duit’ untuk menyelesaikan masalah ekonomi.
Cadangan ini segera mendapat kecaman daripada pakar ekonomi, ahli akademik dan orang ramai kerana dianggap tidak realistik dan berpotensi merosakkan ekonomi negara. Mencetak wang secara sewenang-wenangnya hanya akan menyebabkan inflasi melambung tinggi dan nilai mata wang negara jatuh – sesuatu yang amat berbahaya kepada ekonomi Malaysia.
Cadangan Kedua – Guna surat layang sebagai bukti di Parlimen
Baru-baru ini, Wan Ahmad Fayhsal digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan kerana mendakwa adanya surat layang yang mengandungi maklumat mengenai dalang sebenar di sebalik pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Namun, usul ini gagal meyakinkan Dewan, malah dianggap sebagai percubaan untuk mencetuskan kekeliruan tanpa asas yang kukuh. Tindakan menggantungnya mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen, dengan 110 bersetuju dan hanya 63 tidak bersetuju. Insiden ini hanya menambah panjang senarai kenyataan kontroversi beliau.
Cadangan Ketiga – Pindahkan Pensijilan Halal dari JAKIM ke MITI
Terbaru, Wan Ahmad Fayhsal mencetuskan kontroversi apabila mencadangkan peranan JAKIM dalam mengurus pensijilan halal dipindahkan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). Alasannya, kononnya ketika di luar negara, beliau ditegur kerana standard halal Malaysia terlalu rumit dan menyusahkan peniaga.
Namun, cadangan ini dikecam keras oleh Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan, yang menegaskan bahawa pensijilan halal perlu kekal di bawah JAKIM untuk menjaga integriti dan ketelusan standard halal Malaysia yang telah diiktiraf dunia. Mengurangkan peranan JAKIM berpotensi merosakkan reputasi pensijilan halal Malaysia yang telah dibina bertahun-tahun.