Kelantan Darul Naim FC masih berhutang empat bulan tunggakan gaji
Tunggakan gaji pemain Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) masih berbaki empat bulan daripada keseluruhan selama tujuh bulan.
Presiden KDN FC, Rozi Muhamad (gambar atas tengah) berkata, tunggakan gaji selama tiga bulan sudah dilunaskan kepada pemainnya yang beraksi di Liga Super musim 2024-2025.
Beliau berkata, bagi tunggakan gaji bulan keempat akan dibayar minggu depan dan selebihnya akan dibayar secara berperingkat dalam masa terdekat.
“Setakat ini, kita dah mula bayar gaji pemain sejak Februari lalu dan dalam tempoh terdekat akan cuba selesaikan baki tunggakan.
“Isu ini (tunggakan gaji) di pihak kelab kita bagi perhatian serius, dan saya nak tegaskan kita hanya tertunggak tujuh bulan, tak sampai lapan bulan atau lebih sebagaimana ditularkan,” katanya.
Rozi berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Makan Malam Penghargaan KDN FC di Hotel Perdana, malam tadi.
Turut hadir Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Datuk Hassan serta Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan, Zamakhshari Muhamad.
Menurut Rozi, pihaknya berharap KDN FC boleh beraksi pada Liga Super musim 2025-2026 dengan selesainya isu tunggakan gaji dan beberapa syarat Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan jawatankuasa First Instance Body (FIB) yang perlu dipenuhi.
“Kita akan cuba yang terbaik bagi mendapatkan kelulusan lesen daripada FIB dan berharap menerima keputusan positif,” katanya.
Jelas beliau, pihaknya mensasarkan sebanyak enam hingga tujuh juta untuk perbelanjaan pasukan musim depan.
Sebelum ini, dilaporkan terdapat pemain KDN FC terpaksa melakukan beberapa kerja bagi mendapatkan wang termasuk bekerja dengan rakan berniaga di bazar Ramadan, pasar pagi dan pasar malam.
BACA JUGA Harga runcit RON97, diesel dikurangkan? Ini berita baik dari Kementerian Kewangan