Pengubahan wang haram Sapura Energy Bhd (SEB) bernilai RM500juta: Tan Sri disiasat

Seorang tokoh korporat Tan Sri sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat dalam pengubahan wang haram yang membabitkan saham Sapura Energy Berhad (SEB) bernilai lebih RM500 juta.

Sinar Harian memetik sumber menyatakan rasuah dalam bentuk pelaburan tercetus selepas penggabungan Sapura Kencana Petroleum Berhad dan Sapuracrest Petroleum yang kemudiannya menjadi SEB.

Siasatan dan penggeledahan juga telah dijalankan di beberapa lokasi iaitu di Syarikat Sapura@Mines, Menara Permata Sapura (Sapura Holdings Sdn Bhd) serta kediaman tokoh terbabit di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

“Fokus siasatan adalah terhadap kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 iaitu kesalahan salah guna kuasa dalam isu ganjaran (gaji, bonus dan syer), yuran penjenamaan (branding fee) dan penempatan persendirian (private placement) dari tahun 2012 hingga 2021,” katanya pada Khamis.

Tambah sumber, siasatan turut melibatkan usaha mengenal pasti kesalahan pecah amanah, salah guna dana dan pemalsuan di bawah Kanun Keseksaan.

“Tan Sri tersebut telah dipanggil ke Ibu Pejabat SPRM untuk rakaman percakapan pada 5 dan 6 Mei lalu bagi membantu siasatan.

Sebanyak 83 akaun bank milik lima individu dan 15 syarikat melibatkan nilai kira-kira RM158.26 juta telah dibekukan susulan siasatan ini.

Pada pertengahan Mac, SPRM telah membuka dua kertas siasatan terhadap SEB.