Keselamatan Rumah Tangga Perlu Diutamakan, Jadikan Musibah Sebagai Iktibar – Wan Azizah

FOTO BERITA… Program Sumbangan untuk Mangsa Kebakaran Lorong Mewah oleh YB Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak. Turut hadir Datuk Azman Abidin, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri di Dewan Serbaguna Bandar Tun Razak, Cheras Kuala Lumpur. 8hb May 2025 (Khamis)

YB Dato’ Sri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyeru masyarakat agar terus mengekalkan semangat prihatin dan kebersamaan dalam menghadapi sebarang ujian, ketika menyampaikan ucapan dalam Program Sumbangan dan Solidariti bagi mangsa kebakaran di Parlimen Bandar Tun Razak yang berlangsung hari ini.

Dalam ucapannya, beliau memulakan dengan menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana limpah rahmat-Nya membolehkan semua pihak berkumpul dalam satu program yang disifatkan sebagai sangat bermakna. Program ini diadakan khusus bagi membantu saudara-saudari yang terkesan akibat musibah kebakaran yang melanda baru-baru ini.

“Saya percaya, kehadiran kita di sini bukan sahaja sebagai tanda prihatin, malah sebagai lambang kasih sayang dan semangat kebersamaan dalam mendepani ujian yang menimpa,” ujar beliau di hadapan para hadirin.

Dato’ Sri Dr Wan Azizah turut memuji tindakan pantas Datuk Azman Abidin, Setiausaha Politik kepada YAB Perdana Menteri, yang segera turun padang bersama pasukan pejabat Parlimen Bandar Tun Razak untuk menziarahi mangsa dan menilai sendiri situasi di lokasi kejadian. Beliau menyifatkan kehadiran serta sokongan moral seperti ini sangat besar ertinya buat mangsa yang sedang diuji.

Beliau juga mengambil kesempatan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada agensi kerajaan yang terlibat, khususnya Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), atas tindakan proaktif mereka dalam menyalurkan bantuan kecemasan kepada keluarga yang terjejas.

“Musibah ini mengingatkan kita bahawa malang tidak berbau. Kita wajar mengambil iktibar, dan aspek keselamatan rumah serta persekitaran tidak boleh dipandang ringan,” kata beliau, sambil menekankan pentingnya langkah pencegahan seperti memastikan pendawaian elektrik berada dalam keadaan baik dan menyediakan alat pemadam api di rumah.

Beliau menutup ucapannya dengan menyeru masyarakat agar terus berganding bahu membina komuniti yang lebih prihatin, lebih peka dan bersatu dalam menghadapi cabaran. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program ini – daripada penganjur, sukarelawan, hingga ke petugas lapangan.