Pemilihan PKR: Rasmi… Nurul Izzah tawarkan diri sebagai calon timbalan presiden

Nurul Izzah Anwar secara rasminya telah menawarkan diri sebagai calon timbalan presiden dalam pemilihan PKR yang akan berlangsung hujung bulan ini di Johor.

“Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, izinkan saya, Nurul Izzah Anwar, menawarkan diri sebagai calon Timbalan Presiden PKR 2025-2028.

“Sekiranya perwakilan PKR merasakan saya sesuai untuk menggalas tanggungjawab dan amanah besar ini, Insya Allah, saya akan berusaha melakukan yang terbaik demi PKR,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menyatakan bahawa beliau akan tumpuan perhatian di 50 kerusi marginal yang boleh dimenangi partinya di dalam pilihan raya umum ke-16 sekiranya dipilih sebagai timbalan presiden.

Fokus Nurul sebagai timbalan presiden

“Sekiranya saya dipilih kelak, misi utama saya adalah saling berusaha dan bekerja bersama anggota, pendukung serta sukarelawan di cabang-cabang – khususnya di 50 kerusi marginal. Kerana PRU-16 bukan boleh dimenangi menerusi usaha mana-mana individu. Kita tidak mampu bergerak berseorangan.

“Kita hanya mampu menang dengan menggandingkan kekuatan cabang, jentera akar umbi, menjalar kepada rakyat serta masyarakat menerusi kempen, khidmat dan strategi penerangan efektif yang menambat hati dan keperluan semua.

“Kita tidak boleh lagi bergerak secara terpisah antara pusat dan akar umbi. Kemenangan mampu dicapai dengan kehadiran yang menyantuni rakyat, dan jentera yang hidup dan berfungsi.

“Inilah saatnya untuk kita mengembalikan ideologi asal parti kita, demi menyatukan semula kekuatan PKR dengan roh perjuangan asal – membawa keadilan kepada semua, mengambil kira keperluan sosioekonomi dan peluang yang terbaik tidak mengira bangsa, latar belakang mahupun kepercayaan.”

Nurul jawab persepsi nepotisme

Nurul turut mengulas persepsi nepotisme “Parti Anak Beranak” yang diketengahkan oleh lawan memandangkan perkara ini bukan perkara baharu.

“Ketika saya menang Naib Presiden dengan undian tertinggi pada tahun 2010, 2014 dan 2018, serangan yang sama tetap dilemparkan.

“Hakikatnya, jika saya memilih untuk kekal bertanding Naib Presiden pun kali ini, saya tetap akan digelar begitu.

“Walau apa jua gelaran dan persepsi yang dilemparkan selama puluhan tahun, saya tetap akan terus berkhidmat, Insya Allah – kerana yakin bahawa proses bertanding secara terbuka lantas mendapat mandat daripada akar umbi bukanlah satu bentuk nepotisme.”

Beliau turut menyatakan bahawa beliau telah menolak tawaran menjadi ibunya Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menjadi Timbalan Perdana Menteri.

“Pada 2018, saya meletakkan jawatan daripada Jawatankuasa Kira-kira Negara pada dasarnya menentang kegagalan Perdana Menteri, Tun Mahathir ketika itu untuk memastikan perbelanjaan kerajaan dipantau dengan memastikan pembangkang memegang jawatan ketua PAC.

“Ketika PH memenangi PRU ke-14, saya telah ditawarkan untuk dilantik sebagai Menteri. Apa keputusan saya? Saya menolak kerana ianya adalah lantikan Perdana Menteri, di dalam kabinet yang turut dianggotai oleh Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail selaku Timbalan Perdana Menteri.

“Malahan, sekiranya saya menang jawatan Timbalan Presiden sekalipun, saya tidak berminat dengan jawatan kabinet.”

Setakat ini dua nama tersenarai sebagai calon timbalan presiden – Nurul Izzah dan penyandang Rafizi Ramli.