Perkukuh Akses Digital Perkhidmatan Kerajaan – Gobind Singh

FOTO BERITA: Majlis Perasmian Peluncuran Kiosk Sentuhan MADANI @ 1 Utama oleh YB Tuan Gobind Singh Deo, Menteri Digital. Turut hadir YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara (KSN), YB Puan Jamaliah Jamaluddin ADUN Bandar Utama merangkap EXCO Kesihatan Awam & Alam Sekitar Negeri Selangor di Centre Court (Old Wing), Pusat Beli-Belah 1 Utama, Bandar Utama, Selangor. 8hb Mei 2025 (Khamis)

Menteri Digital, YB Gobind Singh Deo merasmikan pelancaran Kiosk Sentuhan MADANI ke-3 bertempat di pusat beli-belah 1 Utama, Petaling Jaya, sebagai satu lagi langkah Kerajaan dalam memperluas akses rakyat terhadap perkhidmatan digital kerajaan secara mudah, cekap dan mesra pengguna.

Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan majlis pelancaran tersebut dan menekankan bahawa kiosk ini merupakan simbol komitmen Kerajaan dalam mentransformasikan penyampaian perkhidmatan awam secara lebih inklusif dan efisien.

“Kiosk Sentuhan MADANI ini ialah solusi digital untuk rakyat. Ia membawa pelbagai perkhidmatan kerajaan ke lokasi yang lebih mudah diakses oleh orang ramai, sejajar dengan prinsip Malaysia MADANI,” ujar beliau.

YB Gobind turut memaklumkan bahawa kiosk pertama telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri di Alamanda Putrajaya pada Januari lalu, manakala kiosk kedua diperkenalkan di KL Sentral pada Mac. Pemilihan 1 Utama sebagai lokasi ketiga disifatkan sebagai langkah strategik memandangkan ia merupakan antara pusat beli-belah terbesar di Malaysia, dengan jumlah pengunjung harian yang tinggi dari pelbagai lapisan masyarakat.

“Waktu operasi yang panjang termasuk hujung minggu membolehkan rakyat mengakses perkhidmatan kerajaan tanpa terikat dengan waktu pejabat. Ini satu pendekatan mesra rakyat,” tambah beliau.

Sejak dilancarkan, penggunaan kiosk menunjukkan peningkatan ketara. Di Alamanda, pengguna meningkat lebih 40% dari Januari ke Mac, manakala di KL Sentral, hampir 5,000 pengguna telah menggunakan perkhidmatan ini pada bulan pertama sahaja.

Antara rakan yang terlibat dalam penyediaan kiosk termasuk KWSP, ASNB, MyDigital ID, TM Unifi, Pos Malaysia, dan JPJ. Manakala TM One dan DNB menyokong sambungan internet dan rangkaian 5G.

“Inisiatif ini mendapat maklum balas yang sangat positif. Ia membuktikan bahawa Kerajaan MADANI benar-benar komited untuk memperkasakan rakyat melalui digitalisasi,” kata beliau sebelum merasmikan pelancaran kiosk secara rasmi.

Beliau turut menyatakan bahawa inisiatif Kiosk Sentuhan MADANI akan diperluas ke seluruh negara sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memperkukuh kesejahteraan rakyat melalui inovasi digital yang mampan