Permohonan maaf Papagomo berlatarkan lagu ‘Maafkan Kami’ dimainkan di mahkamah
Video permohonaan maaf Papagomo yang disifatkan sebagai tidak ikhlas dan seperti sedang membuat lawak jenaka, dimainkan di Mahkamah Tinggi hari ini.
Video berdurasi lima minit itu menunjukkan rakaman permohonan maaf Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris, sambil menggunakan lagu latar Allahyarham Tan Sri P Ramlee ‘Maafkan Kami’.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menerusi peguamnya Raam Kumar memohon untuk memulakan prosiding komital (hina mahkamah) kali kedua terhadap blogger itu.
Selepas video itu dimainkan, Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong membenarkan permohonan Razarudin.
Raam berhujah, dalam permohonan maaf tanpa syarat, defendan sepatutnya perlu mendiamkan diri selepas permohonan maaf dibuat di mahkamah pada 30 April lalu.
Namun pada 1 Mei lalu, defendan dengan sengaja menerbitkan satu video menerusi aplikasi TikTok (Papa Azri) dan YouTube (Sir Azri), dan kenyataan itu bertentangan dengan kenyataan bertulis permohonan maaf yang dipersetujui dalam perintah komital sebelum ini.
“Permohonan maaf itu tidak ikhlas dan tidak diterbitkan melalui akaun media sosial yang sama seperti perintah mahkamah,” katanya menurut Harian Metro.
Mahkamah kemudian memberi tempoh sehingga 23 Mei untuk Wan Muhammad Azri memfailkan afidavit jawapan.
Manakala Razarudin perlu memfailkan jawapan pada 6 Jun. Hujahan bertulis kedua-dua belah pihak pula pada 20 Jun.
Mahkamah menetapkan 30 Jun ini bagi pendengaran.