Cadangan agihan kerusi 14-14: Tarik balik kenyataan, usah sombong Akmal
Exco Pemuda AMANAH Nasional Fadhli Umar Aminolhuda mahu Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh yang menolak cadangan formula cadangan agihan kerusi 14-14, untuk pilihan raya negeri Melaka, menarik balik kenyataannya.
“Saya menyeru agar Dr Akmal Salleh menarik balik kenyataannya dan kembali kepada semangat muafakat.
“Kita perlu bergerak sebagai satu pasukan, bukan saling mencurigai antara satu sama lain. Perpaduan kunci kejayaan buat kita semua,” kata Fadhli.
Ini kerana kenyataan Akmal memperlihatkan sikap sombong pemimpin Umno tersebut tanpa semangat permuafakatan yang menjadi asas kepada Kerajaan Perpaduan.
“Formula 14-14 adalah satu cadangan adil yang mencerminkan semangat setiakawan serta kesamarataan antara parti-parti dalam kerajaan, terutamanya antara UMNO dan PH di negeri Melaka.
“Sebarang cubaan untuk mendominasi atau meminggirkan rakan kongsi bukan sahaja akan mencetuskan ketegangan dalaman malah boleh menggugat kestabilan kerajaan yang sedang dibina bersama.”
Isu formula 14-14 ini timbul apabila DAP bahagian di Melaka sebulat suara meluluskan resolusi berkongsi kerusi di dalam pilihan raya negeri Melaka yang akan menjelang tiba tahun ini.
Fadhli turut mengingatkan Dr Akmal bahawa BN memenangi pilihan raya kecil di Mahkota dan Ayer Kuning kerana sokongan undi penyokong Pakatan Harapan.
“Bahkan Dr Akmal usah lupa bagaimana usaha dan kerjasama erat yang diberikan oleh rakan Pakatan Harapan dalam memenangkan calon-calon Barisan Nasional khususnya dalam siri PRK seperti DUN Mahkota dan DUN Ayer Kuning yang mana jelas atas kertas menunjukkan undi teras Pakatan Harapan menyokong dan mengundi calon BN atas semangat Perpaduan!
Akmal turut diingatkan bahawa kerajaan persekutuan terbina di atas asas persefahaman bersama.
“Saya akhirnya mengingatkan bahawa Kerajaan Perpaduan ini terbina atas asas persefahaman, bukannya penguasaan sebelah pihak.
“Politik ego perlu dibuang dan saya menyeru semua parti dalam gabungan untuk terus memperkukuh agenda reformasi, memperjuangkan isu rakyat dan mengukuhkan kerjasama antara komponen.
“Pemuda bukan medan angkuh, sebaliknya ruang untuk membina negara dengan idealisme dan jiwa besar.”