Fitnah oleh pemilik akaun TikTok OMGSekMung, apa kata Mujahid yang difitnah?
Berikut adalah kenyataan Senator Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa, timbalan presiden AMANAH seusai laporan polis dibuat terhadap akaun TikTok OMGSekMung:
“Video tersebut, yang dimuat naik pada 9 Mei 2025, memaparkan gambar saya tanpa kebenaran dan cuba mengaitkan saya secara tidak langsung dalam isu bantahan terhadap papan tanda larangan homoseksual yang dipasang di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
“Tindakan ini amat tidak bertanggungjawab dan jelas berniat jahat. Ia mencetuskan persepsi seolah-olah saya menyokong agenda songsang, sedangkan hakikatnya saya tidak pernah menyokong mana-mana bentuk promosi homoseksual.
“Saya menolak sekeras-kerasnya naratif palsu ini dan menyifatkannya sebagai satu cubaan terancang untuk merosakkan maruah serta nama baik saya sebagai seorang pendakwah yang konsisten memperjuangkan pendekatan Islam yang adil, berhemah dan berpaksikan prinsip Rahmatan Lil ‘Alamin.
“Sebagai rakyat Malaysia yang menjunjung nilai kebenaran dan keadilan, saya percaya bahawa fitnah sebegini tidak boleh dibiarkan berleluasa tanpa tindakan. Justeru, laporan polis telah dibuat agar siasatan segera dapat dijalankan dan tindakan undang-undang diambil terhadap pihak yang menyebarkan kandungan jelik dan tidak bermoral ini.
“Saya amat menyokong kebebasan media dalam melaporkan berita secara bertanggungjawab. Kebebasan bersuara adalah asas penting dalam sebuah negara demokrasi yang matang. Namun begitu, saya menolak sekeras-kerasnya budaya fitnah dan kebencian yang digunakan untuk membunuh karakter seseorang, khususnya dalam medan politik.
“Tindakan memutarbelit fakta, menyebar persepsi palsu dan menyerang peribadi atas nama “kebebasan” bukan sahaja tidak beretika, malah merosakkan asas keharmonian masyarakat dan mencemarkan ruang demokrasi itu sendiri.
“Kebebasan bukan lesen untuk memfitnah. Perbezaan pandangan tidak seharusnya membawa kepada pembohongan yang menjatuhkan maruah insan lain. Sebagai ahli politik, saya sedia dikritik. Tetapi biarlah kritikan itu berasaskan fakta, bukan tohmahan.
“Saya menyeru semua pihak agar menolak budaya politik kebencian dan fitnah murahan yang semakin berakar dalam ruang media sosial. Platform digital tidak sepatutnya dijadikan medan untuk menjatuhkan karakter seseorang melalui pembohongan dan manipulasi. Kebenaran mesti dipertahankan, dan kezaliman digital wajib kita lawan bersama.”
BACA JUGA: Video TikTok fitnah dan manipulasi terhadap Mujahid, laporan polis telah dibuat