Pemilihan PKR: Noraziah pertahan kedudukan di dalam MPP untuk penggal kedua
Ketua Wanita PKR Pasir Gudang Noraziah Mohd Razit mengesahkan bahawa beliau akan mempertahankan kedudukannya di dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR untuk penggal kedua.
“Keputusan ini bukanlah suatu yang mudah. Ia dibuat setelah saya mengambil masa untuk bermuhasabah, mendapatkan pandangan rakan seperjuangan serta nasihat daripada keluarga tersayang.
“Dengan sokongan dan dorongan mereka, saya tampil sekali lagi dengan penuh iltizam untuk terus menyumbang kepada perjuangan wanita dalam parti dan masyarakat,” katanya dalam satu hantaran Facebook.
Berikut adalah visi dan misi yang akan diterjemahkan demi parti sekiranya kekal di dalam MPP.
“Visi saya adalah untuk melihat Wanita PKR menjadi barisan hadapan dalam memperjuangkan hak rakyat, memperkukuh demokrasi, dan membawa perubahan bermakna dalam masyarakat.
“Misi saya adalah untuk:
- Memperkukuh 30% peranan wanita dalam kepimpinan dan pembuat keputusan,
- Memajukan kepimpinan wanita dan ekonomi wanita melalui latihan, bimbingan dan akses kepada sumber,
- Menyediakan peluang pendidikan dan kemahiran untuk wanita dan belia,
- Memastikan kesejahteraan dan keselamatan sosial wanita sentiasa terbela,
- Serta memperkasa institusi kekeluargaan dan komuniti melalui program berfokus rakyat.