Untuk apa jadi pencatur, Wan Ahmad Fayshal?
Oleh: Daud Hj Ibrahim
Muqaddimah
Perang semakin besar dalam PN khasnya Bersatu. kalau selama ini ia berlaku di belakang tabir saja, kini serangan antara sesama mereka sudah berdepan.
Ikuti tulisan DAUD IBRAHIM, salah seorang promoter utama Bersatu tentang MP Machang, Wan Ahmad Fayhsal.
Hampir lima tahun saya menulis posting seperti ini, tiada sehari pun gagal, satu-satunya nama yang saya tidak berminat untuk disebut ialah Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Entah kenapa, saya tidak nampak kelebihan dan sumbangan yang mampu dia berikan kepada Bersatu, walaupun, melalui Bersatu macam-macam nikmat dia nikmati.
Dari seorang setiausaha kepada seorang menteri, akhirnya dilantik jadi Senator dan jadi timbalan menteri, kemudian diberikan tempat bertanding dan menang, tidak banyak menginsafkan dia bahawa “dalam politik ini ada ‘tumaninah’.
Sebaik sahaja cukup umur, dia meninggalkan kedudukan sebagai ketua Armada.
Dia cuba menamakan pengantinya.
Namun, ditolak perwakilan Armada.
Dia kemudian cuba nak jadi ketua bahagian di Machang, setelah jadi MP, tetapi nyata perwakilan cawangan menolaknya.
Kini dia dilihat mahu muncul menjadi pencatur politik Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).
Untuk apa?
Untuk mendapat tempat dalam PRU-16 nanti?
Entah dari sudut mana, ketika rakyat pening dengan cerita perubahan tarif yang dikenakan Amerika, persiapan meneruskan kehidupan dengan pengurangan subsidi telur dan kenaikan harga barang yang menajam, dia membawa cadangan “gandingan Hamzah Zainuddin dan Dr Samsuri Mokhtar” baik untuk persiapan menghadapi PRU-16.
Siapa tanya WAF ni?
Siapa suruh dia mencatur ni?
Atau dia ada angan-angan nak menyelit dalam “wayang” yang dia buat itu?
Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin masih di situ.
TG Tan Sri Abdul Hadi Awang masih di situ.
Di bawah TGHA ada Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Kenapa tiba-tiba datang tukang pencatur mahu menentukan kedudukan seseorang dalam PN untuk menghadapi PRU-16.
Politik ni kena ada Tumaninah.
Silap langkah, kamu akan ‘dilihat sedang bermasalah’ dengan semua ahli parti, khususnya ahli Armada.
Armada era Hilman Idham bukan Armada era kamu.
Jauh sangat.
Jika era kamu Armada dibawa untuk ‘tidak bersama Presiden’, berbeza dengan Armada era sekarang, sentiasa bersama Presiden.
Untuk apa cari penyakit?
Adakah kamu sudah tidak berminat lagi dengan Bersatu dan tunggu masa untuk masuk PAS?
Ramai senior yang tidak ‘berminat’ dengan kamu, WAF.
Masa kamu menerajui Armada, ramai ketua bahagian yang makan hati dengan gelagat Armada, bila cerita ini nak sampaikan kepada kamu, enam bulan belum tentu dapat buat temujanji.
Saya tidak mahu mengungkit perkara yang lepas, tetapi kenyataan kamu kebelakangan ini “amat tidak perlu” walaupun kamu merasakan talian hayat politik kamu hanya pada Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Kena tahu menghormati dan menghargai.
Bersatu ini ada ‘tuannya’.
Jangan main langgar sahaja.
Kamu ni macam anak manja, yang boleh memilih apa sahaja kehendak kamu, kerana tiada yang berani menegur.
Berangan nak bertanding di Parlimen Titiwangsa, siap naik banner ketika tempoh Rina Harun belum pun habis di situ.
Nasib baiklah kamu tidak bertanding di Parlimen Titiwangsa kerana kerusi itu diperuntukan kepada PAS.
Jika tidak, entah apalah nasib kamu. Alhamdulilah, kamu diberikan tempat selamat, Parlimen Machang.