8 Setpol Abang Johari lapor polis pengguna FB buat hantaran menghina

Lapan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg membuat laporan polis terhadap seorang pemilik akaun Facebook kerana didakwa menghina ketua negeri Sarawak itu.

Pengguna FB bernama Mike Rain didakwa memuat hantaran Facebook yang mengandungi kenyataan menghina Abang Johari selain turut menyentuh ahli keluarganya.

Laporan dibuat di Balai Polis Satok yang diketuai Abdul Samad Gany, hari ini.

Menurutnya, hantaran itu berpotensi menimbulkan kebencian, penghinaan dan menjatuhkan maruah pemimpin negeri.

“Kami membuat laporan polis dengan harapan agar pihak berkuasa khususnya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dapat mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu itu mengikut peruntukan undang-undang di bawah Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atau mana-mana peruntukan perundangan berkaitan.

“Kami berharap tindakan sewajarnya dapat diambil kerana kandungan itu tidak sepatutnya berada di media sosial,” katanya menurut laporan media.

Laporan polis sama akan dibuat di beberapa bahagian lain di seluruh Sarawak termasuk di Sibu, Miri dan Bintulu, hari ini.

Abdul Samad turut menasihatkan orang ramai agar lebih beretika dan berhati-hati apabila membuat sebarang hantaran membabitkan isu semasa terutamanya yang menyentuh pemimpin negeri.

Jika ingin mengupas sesuatu isu, lakukanlah dengan berpandukan kepada fakta dan asas yang kukuh tetapi elakkan penggunaan kata-kata kesat, jijik dan berunsur penghinaan.

BACA JUGA Raja Perlis titah perkukuh pegangan Sunnah, tolak salah guna istilah agama