Lagak ‘sindrom hero’ KP UMNO perlu dikurangkan – Pemuda AMANAH

Pemuda AMANAH Nasional berpendapat lagak ‘sindrom hero’ Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh perlu dikurangkan demi kepentingan Kerajaan Perpaduan.

Exconya, Fadhli Umar Aminolhuda berkata, Akmal mungkin perlu diingatkan berkali-kali bahawa ramuan untuk memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan tidak lain tidak bukan adalah mengangkat semangat setiakawan.

“Lagak “Hero Syndrome” Dr Akmal ini perlu dikurangkan jika kita ingin lihat Kerajaan Perpaduan bertahan dan kukuh untuk masa mendatang.

“Bak peribahasa ada menyebut menganga dahulu baru meludah,” tegasnya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Akmal berhubung cadangan formula agihan kerusi 14:14 antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi berhadapan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Akmal berkata, apabila hendak mempertahankan kerusi sendiri yang menang dikatakan angkuh tetapi apabila mahu mengambil kerusi orang lain dikatakan semangat perpaduan.

“Logik apa kamu pakai ni?

“Lawan sajalah, pondan saja yang nak ambil kerusi percuma ni,” tempelak Akmal.

Mengulas lanjut, Fadhli berkata, Akmal perlu sedar juga, dalam siri PRU-15, tidak satu Parlimen di Melaka dimenangi oleh BN.

“BN dan PH masing-masing memerlukan antara satu sama lain.

“Di peringkat PH, cukup jelas penerimaan kami terhadap Barisan Nasional.

“Lihat sahaja penyerahan kerusi kerusi strategik, melantik Exco di Negeri “Winnable” Pakatan Harapan seperti Selangor dan Pulau Pinang.

“Itu bukti tanda keikhlasan kami bersama sama Barisan Nasional,” kata Fadhli lagi.

BACA JUGA Apa kata ChatGPT, Rafizi atau Nurul Izzah?