Surat saman Khalid dah siap tapi Rafidah masih ‘menghilang’
Surat saman dari Pengerusi AMANAH Wilayah Persekutuan, Khalid Samad telah pun disiapkan untuk diserahkan secara tangan kepada pempengaruh, Rafidah Ibrahim.
Bagaimanapun ia masih belum dapat diserahkan kerana Rafidah dikatakan masih ‘menghilang’ dan tidak dapat dikesan sehingga kini.
Peguam Khalid sebelum ini telah pun menghantar surat saman ke alamat kediaman pelakon itu.
Tetapi surat notis tuntutan (LOD) yang dihantar tidak dijawab dan tempoh 14 hari yang diberikan telah pun tamat.
Kata Khalid yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan, bagi membawa kes tersebut ke mahkamah, saman perlu diserahkan secara bersemuka kepada pihak yang dinamakan.
“Peguam saya, Hisham Fauzi yang berpangkalan di Kota Bharu bekerjasama dengan seorang lagi peguam di Kuala Lumpur untuk menyiapkan surat saman itu melalui mahkamah.
“Tetapi masalah kami sekarang ialah untuk mencari Rafidah. Dia ini jenis ‘pejuang’ yang sentiasa menghilangkan diri,” katanya kepada pemberita semalam.
Terdahulu Khalid memfailkan saman fitnah terhadap Rafidah kerana memuat naik hantaran fitnah di TikTok, menuduh Khalid mahu memansuhkan Lembaga Pentadbiran Malay Agricultural Settlement (MAS).
Dia juga menuduh bekas menteri itu ingin menghapuskan tanah rizab Melayu bukan sahaja di Kampung Sungai Baru, tetapi di seluruh Kampung Baru.
Khalid berkata, tindakan saman terpaksa diambil berikutan tuduhan dibuat merupakan tuduhan liar dan tidak bertanggungjawab.
BACA JUGA Isu Kg Sg Baru: Khalid Samad saman Rafidah Ibrahim kerana memfitnah