Fuziah ada rekod tersendiri, ketua wanita PKR Pasir Gudang pertahan SUA PKR yang dikritik Rafizi

Ketua Wanita PKR cabang Pasir Gudang Noraziah Razit mempertahankan setiausaha agung PKR Senator Fuziah Salleh atas alasan pemimpin tersebut mempunyai rekodnya yang tersendiri.

Fuziah baru -baru ini dikritik oleh penyandang timbalan presiden Datuk Seri Rafizi Ramli.

“Sepanjang tempoh beliau sebagai setiausaha agung, antara inisiatif paling signifikan ialah pelaksanaan Jelajah SUA secara konsisten ke seluruh negara, bersama pimpinan negeri. Program ini menjadi wahana penting dalam mendekati akar umbi, mendengar denyut nadi rakyat serta menyampaikan hala tuju dan dasar parti secara langsung.

“Fuziah Salleh juga memainkan peranan penting dalam pengemaskinian keanggotaan parti secara sistematik dan inklusif, yang menjadi tunjang kepada pemilihan yang adil dan telus,” kata Noraziah yang turut bertanding untuk kerusi Majlis Pimpinan Pusat.

“Usaha ini mencerminkan kepekaan beliau terhadap keperluan organisasi yang bersifat progresif dan responsif.

“Lebih penting, saya turut mengiktiraf kecekapan beliau dalam menguruskan isu-isu dalaman parti dengan penuh hemah, memastikan keharmonian organisasi terus dipelihara dalam menghadapi cabaran politik semasa.

“Sebagai wanita pertama memegang jawatan penting ini, beliau telah membuka jalan buat lebih ramai pemimpin wanita untuk tampil ke hadapan dan memainkan peranan utama dalam kepimpinan nasional.

“Saya amat berbangga dengan pencapaian ini yang selaras dengan semangat reformasi dan keadilan gender yang menjadi teras perjuangan Wanita PKR.”

Rafizi dalam program Yang Bakar Menteri: Yang Berhenti Menteri di Seri Kembangan pada 10 Mei menyalahkan Fuziah kerana gagal mencegah individu yang bukan anggota daripada bertanding dalam pemilihan parti.

Beliau berkata demikian dalam seruannya agar proses pemilihan parti dirombak dan proses bantahan dinilai semula