Nahas trak FRU: Waris diberi jaminan terima pampasan, bantuan kewangan – Ayob Khan
Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan waris kepada anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam kemalangan tragis di Jalan Chikus-Sungai Lampan, akan menerima pampasan sewajarnya.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata, waris akan menerima pampasan serta bantuan kewangan berjumlah antara RM58,000 hingga RM269,700.
Ia termasuklah bantuan RM25,000 melalui Tabung Amanah Perwira dan Pertahanan Negara (TAPPN) kepada waris anggota terbabit.
“Selain itu PDRM menerusi tabung kebajikan akan menyalurkan sumbangan bernilai RM1,200 kepada setiap anggota yang terbabit dalam nahas itu.
“Bantuan bernilai RM25,000 akan diberikan kepada waris anggota FRU yang meninggal dunia, manakala sumbangan RM8,000 hingga RM11,000 kepada mangsa yang cedera parah dan hilang upaya kekal (HUK),” ujarnya.
Beliau berkata, mangsa yang mengalami cedera ringan pula akan menerima sumbangan bernilai RM1,000 dengan bentuk bayaran bergantung kepada penilaian pakar perubatan.
Sementara itu menerusi Skim Ex-Gratia Bencana Kerja PDRM, kes meninggal dunia akan menerima pampasan secara pukal sebanyak RM20,000 serta bayaran bulanan kepada waris yang layak.
Hilang upaya kekal atau cedera pula akan menerima pampasan secara pukal atau bulanan, bergantung pada tahap kehilangan upaya yang dialami.
“Hilang upaya kekal lebih 21 peratus layak menerima pampasan secara pukal dan bulanan, manakala kurang 20 peratus pula layak menerima pampasan secara bulanan saja,” ujarnya.
BACA JUGA Malaysia berulang kali dipuji menteri Cambodia kerana perkenal garis panduan media sosial