Pemilihan PKR: ‘Beristiqamahlah dan berkempen di atas paksi setiakawan’
Calon naib presiden PKR Datuk Seri Amirudin Shari menyeru semua pihak di dalam parti agar beristiqamah dan berkempen di atas paksi setiakawan tanpa hasad dengki dan fitnah.
“Saya menggesa agar semua sahabat seperjuangan tetap istiqamah berkempen berpaksikan semangat setiakawan dan tidak terpalit fasad serta hasad menyerang peribadi, melontar fitnah serta tuduhan-tuduhan yang tidak berasas.
“Ini bukanlah amalan yang ingin kita lihat dalam proses pemilihan sebuah parti ‘reform’ yang dipanggil sebagai Parti Keadilan Rakyat.
“Justeru itu, saya menyeru semua pihak yang mengambil bahagian termasuk diri saya sendiri agar kita bersama menjaga rukun dan tertib dalam berkempen serta mematuhi tatacara yang digariskan oleh pihak JPP.”
Beliau berkata demikian ekoran daripada tuduhan dan dakwaan yang dibuat oleh penyandang timbalan presiden Datuk Seri Rafizi Ramli terhadap Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR.
Rafizi menyalahkan pengerusi JPP iaitu Dr Zaliha Mustafa di atas sesi pemilihan cabang yang memperlihatkan trend kepala tanpa badan.
Amirudin turut mengingatkan bahawa rakyat memerhati tindakan calon dan parti. Justeru itu ia adalah penting untuk mengamalkan politik damai dan matang.
“Pemilihan kali ini adalah pentas untuk menampilkan idea dan gagasan masing-masing secara sihat dan matang, serta peluang untuk prestasi kita dalam penggal sebelum ini dinilai oleh anggota parti dan turut diperhatikan oleh rakyat.
“Sebagai parti teras dalam Kerajaan Perpaduan, rakyat akan melihat segala tindak tanduk serta perbuatan kita.
“Ayuh sama-sama kita mempamerkan politik yang damai dan matang demi manfaat bersama.”
BACA JUGA: Apa kata ChatGPT, Rafizi atau Nurul Izzah?