PM Anwar disambut dengan permaidani merah di Russia

Datuk Seri Anwar Ibrahim disambut dengan permaidani merah di Moscow untuk lawatan rasmi empat hari bermula semalam.

Ketibaan Perdana Menteri pada jam 6.26 petang waktu tempatan (11.26 malam waktu Malaysia) diberi kawalan kehormat sebaik mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Vnukovo-2.

Anwar adalah Perdana Menteri pertama Malaysia yang diberikan sambutan seumpama itu selepas hampir 20 tahun.

Perdana Menteri kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi menerima sambutan serupa semasa mengadakan lawatan rasmi ke Russia pada 2007.

Ketibaan Anwar disambut Duta Besar Malaysia ke Russia, Datuk Cheong Loon Lai dan Timbalan Menteri Luar Russia, Andrey Rudenko.

Turut serta Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Li Kang; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Lawatan rasmi itu, yang berlangsung hingga 16 Mei, adalah atas undangan Presiden Russia, Vladimir Putin dan merangkumi kunjungan ke beberapa lokasi utama di Moscow serta Kazan, Tatarstan.

“Insya-Allah sepanjang lawatan ini, saya akan mengadakan pertemuan peringkat tertinggi bersama Presiden Rusia, Vladimir Putin, dan Perdana Menteri Rusia, Mikhail Mishustin,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook.

Menurut Perdana Menteri, lawatan tersebut bagi memperkukuh persahabatan Malaysia-Rusia serta merintis kerjasama baharu dalam pelbagai bidang strategik.

“Saya juga dijadualkan bertemu beberapa pemimpin industri utama Rusia untuk menarik lebih banyak pelaburan berimpak tinggi ke Malaysia, selain menghadiri Mesyuarat Kumpulan Visi Strategik Russia-Islamic World dan KazanForum di Kazan.

“Doakan misi saya bersama delegasi Malaysia berjaya menggalas amanah besar memangkin pertumbuhan ekonomi, memperluas jaringan strategik serta membawa limpahan kemakmuran untuk seluruh rakyat Malaysia,” kata Anwar lagi.

BACA JUGA Kantoi dua penceramah jemputan kuliah di masjid rupanya pemimpin Pas Perak