Tebing Tembah: Takiri bantah Exco Terengganu, jangan zalimi mereka
Setiausaha Majlis Ulama Umno Dr Khairuddin Aman Razali At-Takiri telah membantah keputusan Exco Terengganu Datuk Satiful Bahri Mamat dalam isu pengambilan kebun kelapa Kampung Tebing Tembah di Paka, Terengganu.
Kerajaan Terengganu pimpinan Pas telah memutuskan untuk mengambil tanah kebun kelapa daripada 96 pekebun untuk diagihkan kepada 600 orang sebagai tanah lot kediaman.
Takiri membantah tindakan Pas kerana ia menzalimi para pekebun tersebut dengan menyifatkan tanah kebun itu adalah tanah rampasan daripada pekebun yang mengusahakannya.
“Berbalik pada isu Kampung Tebing Tembah ini, tanah yang dihidupkan oleh pekebun sejak hampir 20 tahun dengan bantuan kerajaan adalah milik mereka.
“Mereka telah menambun tanah paya sehingga boleh ditanam kelapa dengan harta dan keringat mereka.
“Justeru, ia mesti disempurnakan pemilikan oleh pihak kerajaan untuk maslahat mereka sahaja dan tidak boleh diagihkan pada orang lain yang tidak mengusahakannya.
“Ada alasan kononnya mengagihkan pada 600 orang untuk lot kediaman adalah lebih baik daripada 96 orang sahaja mengusahakan kebun.
“Saya katakan, merampas hak milik 96 orang untuk diberi kepada 600 orang adalah kezaliman. Ia tanah rampasan. Silakanlah mengagihkan tanah kepada 600 orang yang belum diusahakan oleh sesiapa pun. Tetapi bukan tanah yang telah diusahakan walaupun oleh seorang sahaja.
“Jika dikatakan 96 orang belum diberikan pemilikan. Kita menegaskan syarak telah memberikan mereka pemilikan tinggal lagi peraturan kerajaan perlu disempurnakan. Tidakkah parti yang memerintah Terengganu sekarang memperjuangkan hukum syarak?
“Ada pula alasan politik kononnya ia adalah milik penyokong parti tertentu sahaja. Jika benar sekalipun, penyokong parti mana pun adalah rakyat Terengganu yang berhak menghidupkan tanah untuk dimiliki.
“Sementelah dimaklumkan tanah kebun itu turut diusahakan dan dimiliki oleh penyokong parti-parti yang berbeza. Sentimen politik kepartian tidak wajar mengatasi hukum syarak dalam bab usaha dan pemilikan tanah.”
Isu ini telah dibangkitkan oleh pengerusi Pakatan Harapan Terengganu Senator Hasbie Muda.
Beliau turut membantah keputusan kerajaan negeri kerana Malaysia sedang berusaha memastikan keterjaminan makanan tetapi tindakan kerajaan Terengganu bertentangan dengan hasrat kerajaan pusat
BACA JUGA: ‘Kantoi’ dua penceramah jemputan kuliah di masjid rupanya pemimpin Pas Perak