Ada peniaga sudah raih RM30,000 sebulan, menteri perjelas inisiatif MyKiosk
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming memaklumkan projek MyKiosk membolehkan peniaga meraih pendapatan mencecah RM30,000 sebulan.
Menurutnya, MyKiosk adalah inisiatif KPKT untuk membantu penjaja kecil tanpa lesen di tepi jalan serta meningkatkan pendapatan khususnya ibu tunggal dan B40 selain merancakkan ekonomi setempat.
“Peruntukan kita sediakan kepada semua 156 PBT di seluruh negara.
“Mereka (PBT) akan cari tempat yang strategik untuk mendirikan MyKiosk tersebut untuk membolehkan penjaja berniaga.
“KPKT hanya berikan peruntukan tetapi yang melantik kontraktor adalah PBT, yang menyediakan tapak adalah PBT,” katanya dalam satu hantaran dikongsikan di akaun TikTok beliau.
Sehubungan itu, beliau berkata, kesemua PBT perlu mencari dan memastikan seluruh 7,000 MyKiosk itu diisi sepenuhnya supaya dapat menepati objektif untuk membantu rakyat.
“Ada ibu tunggal dulu B40, sekarang dia dapat RM8,000 hasil berniaga di MyKiosk.
“Usaha ini memerlukan kerjasama semua pihak.
“Semua PBT mesti bertanggungjawab memastikan MyKiosk diletakkan di lokasi strategik, diisi sepenuhnya dan diberikan bantuan teknikal supaya panel tenaga solar boleh digunakan sepanjang masa,” kata Kor Ming.
Sebelum ini, pembangkang menuduh MyKiosk sebagai projek ‘gajah putih’ yang membazir dan tidak praktikal.
Projek MyKiosk KPKT adalah inisiatif kerajaan untuk membantu golongan B40 dan peniaga perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) dengan menyediakan ruang niaga yang seragam, selamat dan selesa.
MyKiosk KPKT bertujuan meningkatkan pendapatan dan taraf sosioekonomi penduduk setempat melalui penyediaan kios perniagaan dengan kadar sewaan yang rendah.
Sehingga Disember 2024, sebanyak 7,243 unit MyKiosk telah diluluskan di 133 PBT di seluruh negara, membantu lebih 7,000 keluarga meningkatkan pendapatan mereka.
BACA JUGA Tiada arahan untuk ‘like’, ‘share’ kempen pemimpin tertentu PKR – J-Kom