Mahkamah Persekutuan kekalkan keputusan CEO GISBH kekal dipenjara

Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman penjara yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi terhadap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), Nasiruddin Mohd Ali.

Keputusan itu sekaligus mengetepikan rayuan CEO GISBH itu dan isterinya, Azura Md Yusof untuk mencabar keputusan Mahkamah Tinggi kerana mendakwa dia ditahan secara salah (habeas corpus) oleh pihak berkuasa.

Keputusan sebulat suara dibuat panel tiga hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat selepas mendapati permohonan kedua-dua pemohon itu tidak mempunyai merit.

“Tiada merit dalam rayuan ini, rayuan ditolak, keputusan Mahkamah Tinggi dikekalkan,” katanya memetik Harian Metro.

Dengan keputusan itu, Nasiruddin kekal ditahan di Penjara Sungai Buloh manakala Azura pula memperoleh ikat jamin oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam sebelum ini.

Pasangan suami isteri itu sebelum ini memfailkan permohonan penahanan salah dengan menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara, Pendakwa Raya, Pengarah Penjara Negeri Selangor dan Wilayah Kuala Lumpur serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Untuk rekod, seramai lapan tertuduh wanita termasuk Azura yang didakwa atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah dibenarkan diikat jamin oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Bagaimanapun, Nasiruddin serta 12 lagi pemohon dalam pertuduhan sama tidak dibenarkan diikat jamin.

BACA JUGA Kg Sg Baru: Khalid lah yang perjuangkan pampasan setimpal untuk penduduk