MHO serah surat permohonan perkembangan siasatan kes Gigamax kepada JSJK Bukit Aman, 99 mangsa rugi RM4.8 Juta

FOTO BERITA: Sidang Media oleh Dato’ Hishamuddin Hashim Setiausaha Agung MHO dab serahan surat stasus tangkapan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM terhadap suspek Gigamax di JSJK Jalan Tun Razak Kuala Lumpur. 15hb Mei 2025 (Khamis)

Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Bukit Aman, Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kejayaan menahan tiga (3) orang suspek utama dalam kes penipuan pelaburan mata wang kripto yang dikenali sebagai Gigamax. Penangkapan ini telah dilakukan pada 6 Mei 2025 yang lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Kejayaan ini merupakan satu perkembangan positif yang amat bermakna kepada para mangsa penipuan pelaburan ini, khususnya dalam usaha mereka mendapatkan pembelaan dan keadilan sewajarnya setelah mengalami kerugian besar.

Pihak MHO telah hadir ke Pejabat JSJK Bukit Aman untuk menyerahkan secara rasmi surat permohonan bagi mendapatkan perkembangan semasa dan/atau status terkini berhubung siasatan terhadap suspek-suspek yang telah ditahan tersebut.

Untuk makluman, MHO sebelum ini telah menerima sebanyak 99 aduan daripada individu yang mendakwa menjadi mangsa penipuan pelaburan menerusi aplikasi Gigamax, yang didalangi oleh sebuah pertubuhan tertentu. Jumlah keseluruhan kerugian yang dilaporkan oleh para pengadu dianggarkan sebanyak RM4,864,861.12.

Para mangsa, yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk warga emas, menaruh harapan yang tinggi agar pihak JSJK dapat menjalankan siasatan dengan telus, menyeluruh dan seterusnya membawa kes ini ke peringkat pendakwaan.

Mangsa-mangsa juga menyuarakan penghargaan terhadap komitmen pihak polis dalam menangkap suspek utama dan berharap agar proses undang-undang dapat memberikan keadilan yang sewajarnya serta memulihkan keyakinan masyarakat terhadap sistem perundangan negara.

Pihak MHO turut berjaya mengumpulkan sokongan dan kerjasama daripada para mangsa untuk bersama-sama hadir pada hari ini dalam sidang media serta penyerahan surat permohonan kepada pihak JSJK.

MHO percaya bahawa pihak PDRM, sebagai antara institusi penguatkuasaan yang dihormati di Malaysia, akan terus komited dalam memberi maklum balas terbaik serta menjalankan siasatan yang tuntas demi menegakkan hak para mangsa. “Keadilan bukan hanya tentang hukuman, tetapi juga tentang mengembalikan hak yang telah dinafikan.”