Siti Jamumall kena cerai talak dua ‘live’ di TikTok
Heboh di pelbagai platform media sosial rakaman pertengkaran pempengaruh media sosial, Khairul Aiman Abdul Kudus, 22, sehingga menceraikan isterinya, Siti Jamumall, 26, dengan talak dua.
Insiden berlaku ketika Siti Jamumall sedang bersiaran langsung di TikTok, malam semalam yang menyaksikan kedua-duanya saling menuduh sehingga emosi masing-masing tidak terkawal.
“Siti Suriani Binti Wahiddin, aku ceraikan kau dengan talak dua!” lafaz Aiman yang mengulangi perkataan terbabit sebanyak tiga kali.
Aiman memberitahu dia enggan lagi terus dipijak dan mahu mengembalikan semula maruahnya sebagai lelaki.
Siti Jamumall yang kini hamil lima bulan hanya terdiam dan menitiskan air mata mendengarkan lafaz cerai itu.
Dia kemudian dilihat cuba ditenteramkan dua lelaki lain dipercayai pembantunya untuk siaran langsung itu.
Pada 6 Mei lalu, pasangan berkenaan pernah bercerai dan hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam.
Namun, mereka mengambil keputusan kembali rujuk dalam tempoh kurang 24 jam selepas pengesahan lafaz cerai dibuat.
Sebelum ini, mereka berkahwin di Satun, Thailand pada 1 Jun tahun lalu.
Hasil perkahwinan terdahulu dengan Mohammad Syafiq pada 2019 pula, Siti Jamumall mempunyai dua anak lelaki, Putra Adam Rizki, 6; dan Putra Aiman Zafran, 4 sebelum bercerai pada Disember 2022.
BACA JUGA Tiada arahan untuk ‘like’, ‘share’ kempen pemimpin tertentu PKR – J-Kom