Guru membentuk sahsiah anak-anak, miliki karamah insaniah
Parti Amanah Negara (AMANAH) mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga pendidik yang merupakan insan luar biasa yang sabar, cekal dan ikhlas dalam membimbing anak-anak bangsa.
Pengerusi Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat AMANAH, Azli Yusof berkata, tema sambutan Hari Guru tahun ini, “Guru Pemacu Reformasi Pendidikan”, membawa makna yang sangat mendalam.
“Dalam menghadapi cabaran dunia moden – pendidikan digital, kecerdasan buatan, perubahan nilai masyarakat – guru tetap menjadi benteng harapan dan pencetus perubahan,” katanya menurut kenyataan.
Memetik ayat 11 dalam Surah Al-Mujādalah, beliau berkata, ayat tersebut mengangkat darjat ilmu lebih-lebih lagi, darjat mereka yang menyebarkan ilmu.
“Maka setiap guru sebenarnya berada pada posisi yang dimuliakan oleh Allah,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, guru bukan sekadar mengajar berdasarkan kurikulum malah mereka membentuk sahsiah, menyemai nilai, dan menanam keyakinan dalam diri anak-anak kita.
“Dalam suasana dunia yang penuh dengan tekanan dan ketidaktentuan, guru terus istiqamah membimbing dengan sabar dan penuh kasih sayang,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata, AMANAH komited untuk terus menyuarakan kebajikan guru yang lebih terjamin serta latihan berterusan agar guru sentiasa dilengkapi dengan ilmu dan kemahiran.
AMANAH juga, jelasnya, komited untuk terus menyuarakan infrastruktur pendidikan yang setara dan kondusif serta dasar pendidikan yang sentiasa berkembang berteraskan nilai dan kemanusiaan.
Azli menambah peranan guru bukan sahaja mencetak pelajar cemerlang, tetapi lebih besar daripada itu, guru membentuk insan yang memiliki karamah insaniah, iaitu jati diri kemanusiaan yang mulia, beradab dan bertanggungjawab.
“Inilah asas kepada pembinaan sebuah Negara Madani – negara yang bukan sahaja maju dari segi ekonomi dan teknologi, tetapi juga kukuh dari segi nilai hormat, keadilan, dan ihsan.
“Terima kasih cikgu atas segala pengorbanan dan tunjuk ajar. Selamat Hari Guru 2025,” kata beliau lagi.
BACA JUGA Nahas trak FRU: Pemandu lori didakwa pagi ini