Pemilihan PKR 2025: Gabungan Otai Reformis Sedia Jadi Semak dan Imbang Kepimpinan PKR

FOTO BERITA: Sidang Akhbar Pertubuhan Kebajikan Otai Reformis Malaysia (PKORM) di Dewan Restoran Amjal Jalan Lembah Pantai Kuala Lumpur. 15hb Mei 2025 (Khamis)

Dalam semangat memperteguh kembali asas perjuangan Reformasi, sekumpulan tokoh Otai Reformis menawarkan diri untuk bertanding dalam Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tahun 2025, sebagai calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan Majlis Perwakilan Wanita Pusat (MPWP) bagi sesi 2025–2028.

Gabungan ini diketuai oleh Mustapa Mansor Amer Mohd Isa selaku Pengerusi, dengan barisan Timbalan Pengerusi Dato’ Dr. Sangkar Rasam dan Ahli Jawatankuasa Abang Zulkifli Abang Engkeh. Turut menyertai barisan ini ialah Pengerusi Negeri Melaka, Cikgu Rafee; Ahli Kehormat Negeri Sembilan, YB Yew Boon Lye; dan tokoh Reformis veteran, Dato’ Gs Wan Ibnul Bahar.

Dalam sayap wanita, Puan Junaidah Makku @ Junn menyahut cabaran sebagai calon Ahli Jawatankuasa MPWP, manakala Datin Rufinah Pengeran dari Sabah tampil sebagai calon Naib Ketua Wanita PKR.

Menurut Mustapa Mansor, antara misi utama pencalonan ini adalah untuk memastikan PKR terus berpegang kepada nilai-nilai asal perjuangan Reformasi — keadilan untuk semua kaum, integriti, ketelusan, kecekapan serta kebajikan rakyat. Mereka menegaskan perlunya barisan pimpinan parti hari ini terus dipantau agar tidak tergelincir daripada prinsip asas tersebut.

Kami ingin menjadi suara semak dan imbang dalam MPP, bukan untuk mencabar tetapi untuk memperkukuh – agar perjuangan asal REFORMASI kekal relevan, hidup dan membumi,” tambah beliau

Mereka turut menekankan peranan penting Otai Reformis sebagai jambatan antara kepimpinan pusat dengan akar umbi, khususnya penyokong setia sejak era Reformasi 1998.

Kumpulan ini juga yakin kehadiran mereka dalam kepimpinan akan menyuntik semula roh perjuangan dalam parti, sekaligus memberi keyakinan kepada rakyat bahawa PKR bukan sekadar parti politik biasa, tetapi masih berpaksikan semangat perubahan yang tulen.

Pemilihan kali ini dijangka menjadi medan penting bagi menentukan hala tuju masa depan PKR, sama ada terus menjiwai semangat Reformasi atau hanyut dalam arus kuasa.