G57 Buat Laporan Polis, Tuntut Siasatan Terhadap Fitnah Terhadap Kerajaan Sabah

FOTO BERITA: Laporan polis oleh Datuk Zulkarnain Mahdar Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) mengenai fitnah ke atas Datuk Seri Hajiji Ketua Menteri Sabah di Balai Polis Sri Petaling, Kuala Lumpur. 16hb Mei 2024 (Jumaat)

Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) Datuk Zulkarnain Mahdar telah membuat satu laporan polis berhubung dakwaan fitnah yang dilemparkan terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Ketika ditemui media selepas membuat laporan, Zulkarnain menegaskan bahawa siasatan segera perlu dijalankan terhadap pihak yang terlibat bagi menghentikan penyebaran maklumat tidak berasas.

“Kita tidak boleh membiarkan fitnah menjadi budaya. Apa jua dakwaan harus disertai dengan bukti dan disalurkan melalui saluran yang betul, bukan dengan menyebarkannya secara melulu di media sosial atau platform lain,” katanya kepada media selepas membuat laporan.

Zulkarnain turut menafikan dakwaan yang mengaitkan isu perlombongan mineral di Sabah sebagai ‘little 1MDB’, sambil menyifatkan tuduhan tersebut sebagai palsu dan memberi persepsi negatif kepada rakyat Malaysia.

“Ambil tindakan sewajarnya kerana mereka dilihat terus menyebar fitnah. Saman saya kalau mahu kerana ada banyak perkara perlu didedahkan dalam mahkamah,” katanya.