Matematik paling ramai pelajar gagal, ini saranan ahli akademik kepada KPM

Laporan Analisis Keputusan SPM 2024 mendedahkan Matematik mencatatkan kadar kegagalan tertinggi berbanding mata pelajaran lain dengan 84,025 pelajar tidak lulus dalam subjek itu.

Pensyarah Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Abdul Halim Abdullah berkata, intervensi seharusnya diberikan kepada murid mengambil SPM 2024 dari awal, bukan kepada kohort mereka yang akan mengambil SPM pada tahun mendatang.

“Perkara ini menimbulkan polemik pelbagai pihak untuk mengembalikan semula peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) supaya intervensi dapat dikenal pasti dari awal, iaitu daripada UPSR hingga ke peperiksaan SPM.

“Sekiranya KPM tetap dengan pendirian untuk tidak mengembalikan semula peperiksaan UPSR dan PT3, KPM perlu berani mengenal pasti punca akar umbi membawa kepada kegagalan murid dalam mata pelajaran Matematik,” katanya menerusi artikel beliau.

Menurutnya, KPM perlu bersikap telus dengan hasil kajian yang diperoleh dan harus berkongsikan dapatan diperoleh secara terbuka dengan guru, ibu bapa dan pihak berkepentingan untuk bersama-sama mencari penyelesaian.

“Jika masalah utama berpunca daripada kaedah pengajaran ketinggalan, program latihan guru perlu diperkukuh.

“Jika murid kurang motivasi, pendekatan pembelajaran lebih interaktif dan aplikasi dunia sebenar perlu diperkenalkan.

“Selain mengenal pasti punca umum kegagalan Matematik dalam SPM, data diperoleh juga perlu dianalisis secara lebih mendalam dengan membandingkan prestasi murid mengikut tahap pencapaian (gred), jantina, sosioekonomi keluarga, lokasi sekolah dan demografi lain,” jelasnya.

Abdul Halim berkata, dengan analisis merentas pelbagai faktor, KPM dapat mengenal pasti kumpulan murid paling terkesan dan merangka intervensi lebih tepat.

“Contohnya, jika data menunjukkan murid luar bandar lebih ketinggalan, program bimbingan khas atau peruntukan boleh disalurkan ke kawasan berkenaan supaya pendidikan lebih bersifat inklusif.

“Ketelusan dalam perkongsian data ini penting supaya semua pihak dapat bekerjasama mencari penyelesaian berkesan dan bersifat inklusif,” tegasnya lagi.

BACA JUGA Hubungan erat Malaysia-Russia gugat negara lain? Ini jawapan PMX