Pengerusi BN ingatkan tiada pihak anggap parti sebagai dominan

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan mana-mana parti politik supaya bekerjasama dan bergabung dengan parti lain dalam membentuk sebuah kerajaan, termasuk di Sabah.

Timbalan Perdana Menteri itu juga berkata, perkara tersebut adalah trend global dan lumrah di mana-mana negara, termasuk kedudukan BN dalam kerajaan ketika ini.

“Ini lumrah juga di negara lain. Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) juga tidak ada sebuah parti dominan.

“Biarlah UMNO parti terbesar, tapi tak banyak menang kerusi kecil pun kita telah beri sumbangan.

“Saya nampak trend sama berlaku di Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN-17).

“Jangan mana-mana pihak terlalu besar hati untuk merasakan bahawa partinya itu dominan dan tidak memerlukan kerjasama dengan parti lain.

“Jika ada yang berhasrat untuk bertanding solo, mereka harus mengetahui bahawa ini adalah trend dunia dan saya yakin ini juga berlaku di Sabah,” kata Ahmad Zahid.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas hadir melancarkan Gerak17 UMNO Sabah, Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai, Parlimen Sepanggar, di Institut Kemahiran MARA (IKM), di Kota Kinabalu, hari ini.

Berhubung kerjasama dengan parti lain, Ahmad Zahid berkata, BN dan Pakatan Harapan (PH) masih belum memuktamadkan hal tersebut dan tidak pernah menutup pintu rundingan serta masih terbuka mengenainya sehingga PRN-17 nanti.

BACA JUGA ‘Kalau berhimpun ni bagi pada Pas, majukan negeri saja gagal’